Kualiti Hati

Dunia ini alam taklif. Kita semua para mukallaf atas perintah Allah swt. Jika dunia ini hanya penuh dengan nikmat tanpa ada kesukaran dan penderitaan, maka bagaimana kita dapat mengenal dan mensyukuri nikmat?

Wednesday, December 15, 2010

Rasulullah- Adakah kita mencontohinya?

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam
Firman Allah SWT
                         
164. Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang Yang beriman, setelah ia mengutuskan Dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, Yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran Yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad Yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan Yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). dan Sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah Dalam kesesatan Yang nyata.

Sidang jumaat yang di rahmati Allah,
Bila masuk sahaja bulan muharam kita selalu di ingatkan dengan salah satu peristiwa penting dalam Islam iaitu kisah hijrah Rasulullah saw. Seperti juga dengan bulan rejab, kita akan di ingatkan dengan peristiwa Isra’ dan Mikraj Rasulullah Saw, dan bulan rabiulawal dengan peristiwa kelahiran rasulullah SAW. Berbagai peristiwa kisah perjuangan Rasulullah dapat di imbas kembali di dalam bulan-bulan ini.

Sidang jumaat...
Carilah, satu susuk peribadi yang berjaya mengimbangi kehidupannya dengan sempurna selain baginda SAW. Munculkan sesiapa sahaja di atas muka bumi ini, yang mampu menyaingi sistematik kehidupan Rasulullah SAW.
Ternyata, baik dahulu, kini dan selamanya, tidak akan muncul manusia yang mampu menandingi baginda Rasul SAW.

Baginda yang pada siangnya menjadi kepala negara, pendakwah menyebar amanah Allah, ketua kepada keluarga, sahabat kepada sahabat, hakim kepada rakyat, strategis perang dan mengetuai 27 peperangan dalam kehidupannya, meluang masa dengan para miskin dan fakir, sempat bercanda dengan anak-anak kecil serta cucunya, masih memberikan hak perempuan-perempuan di sekelilingnya, dan mampu bermesra dengan sahabat-sahabatnya.
Tidak cukup dengan siangnya yang padat, malamnya pada saat manusia lain berehat, baginda bangun berdiri 4-5 jam untuk qiamullail sehingga bengkak-bengkak kaki baginda.
Siapa yang mampu menandingi manusia yang paling ramai mencintainya?
Nescaya kita akan melihat, tiada seorang pun yang akan mampu menandingi baginda.

Seorang yang sangat pemurah, seorang yang sangat penyayang, pemaaf, lembut hati, tenang dan menyenangkan. Tiada yang mampu menandingi sifat malunya, tiada yang mampu menyaingi ketegasan prinsipnya, tiada yang akan dapat menewaskan kebergantungannya kepada Allah SWT.
Akhlak baginda memancarkan cahaya. Memalukan sesiapa sahaja yang menentangnya.

Lihatlah akhlak baginda dengan kaum diTaif yang mencederakan baginda. Tidak diterima tawaran malaikat untuk menghapuskan kaum itu. Bahkan didoakan pula.
Lihatlah akhlak baginda ketika seorang perempuan datang untuk meminta dirinya dihukum hudud kerana berzina. Baginda suruh balik, dan membesarkan anak dahulu. Perempuan itu datang berkali-kali minta dihukum kerana rasa berdosa, tetapi baginda tidak mempercepatkan hukuman, malah menyuruh perempuan itu membesarkan anaknya terlebih dahulu hingga mampu menjamah makanan. Sungguh telus baginda menjatuhkan hukuman. Adil kepada perempuan itu, adil pula pada bayi yang baru lahir.

Lihatlah akhlak baginda ketika kaum Quraisy menumpahkan darah baginda di medan Uhud, hingga tercabut gigi geraham baginda yang suci di medan itu. Baginda menahan darah yang jatuh sambil berdoa:
“Ya Allah, ampunkanlah kaumku itu. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui”

Lihatlah pada saat Abdullah ibn Ubai ibn Salul, kepala munafiq di Madinah meninggal dunia dalam keadaan kemunafiqannya masih tidak terubat. Rasulullah SAW yang mengetahui tempat Abdullah ibn Ubai ini di neraka, berkeras hendak mendoakannya agar selamat dari azab Allah. Allah menurunkan ayat menyatakan bahawa Abdullah ibn Ubai ini tetap tidak akan terampun walaupun Rasulullah SAW medoakannya sebanyak 70 kali. Lantas Rasulullah SAW bersabda: “Maka, aku akan mendoakannya lebih dari 70 kali” hingga Allah menegur baginda.

Lihatlah akhlak baginda ketika cucunda baginda, Hassan dan Hussin bermain di atas tubuh baginda semasa sedang solat. Baginda memanjangkan sujudnya, sehingga ada sahabat selepas solat berkata kepada baginda: “Apakah wahyu turun semasa sujud tadi wahai Rasulullah? Aku menyangka malaikat maut datang mengambil nyawamu” Rasulullah SAW menjawab: “Cucundaku, Hassan dan Hussin bermain di belakangku. Maka, aku panjangkan sujudku”

Lihatlah akhlak baginda apabila Aisyah RH terjatuhkan cebisan roti. Pantas baginda mengambil cebisan roti itu, membersihkan debu yang ada padanya, dan memakannya dengan penuh rendah diri.
Lihatlah akhlak baginda apabila dia bertanya kepada isterinya: “Apakah kita punya makanan hari ini?” Bila dijawab tiada, baginda tidak ralat. Bahkan berkata: “Jika demikian, aku berpuasa”

Sidang jumaat…
Orang-orang buta mata hati sahja yang menghina baginda. Manusia-manusia yang tertipu sahja yang memandang rendah baginda. Insan-insan yang berpaling daripada Allah melontarkan 1001 tohmahan pada susuk yang mulia ini.
Sesungguhnya segala tohmahan itu palsu, dan menandakan kependekan akal penghinanya.

Dituduh susuk tubuh yang mulia ini gila seks kerana beristeri ramai.Sedangkan, semua perkahwinan baginda adalah arahan Allah SWT dan mempunyai tujuan dalam dakwah dan penyebaran Islam. Jika benar baginda adalah seorang yang gila seks, pastinya baginda tidak menolak lamaran seorang perempuan, yang pada satu hari datang menyerah diri pada baginda. Perempuan itu datang dan berkata: “Wahai Rasulullah, jadikanlah aku ini milikmu” Tetapi Rasulullah menolak, kemudian berkata kepada sahabat-sahabatnya: “Adakah antara kalian yang ingin mengahwini perempuan ini?”

Dituduh susuk tubuh yang mulia ini seorang yang gila perang, dahagakan darah.
Sedangkan, tentera-tentera Islam diberikan pesan untuk tidak membunuh wanita dan kanak-kanak, tidak menganggu orang tua yang tidak berperang, tidak dibenarkan mencabut atau memotong kayu dan rumput sebarangan. Ketika peristiwa Pembukaan Kota Makkah, baginda memaafkan semua kaum Quraisy Makkah yang dahulunya menyeksanya. Maka, apakah ini tindakan seorang yang gila perang dan dahagakan darah?

Dituduh susuk tubuh yang mulia ini seorang yang tamak. Kononnya zakat itu adalah untuk dirinya.
Sedangkan, rumah baginda diketahui jarang berasap. Saidina Umar RA pernah menangis apabila memasuki bilik Rasulullah SAW. Didapati di dalam bilik itu, hanya terdapat penggiling gandum dan katil yang diperbuat dari pelepah tamar, yang apabila Rasulullah SAW bangun, terdapat bekas biratan pelepah tamar itu pada belakang tubuh baginda. Baginda pernah didapati pada satu hari solat duduk. Apabila ditanya, baginda menjawab: “Aku terlalu lapar” Lapar hingga tiada tenaga berdiri. Baginda juga hakikatnya tiada rumah. Baginda hana ada bilik-bilik. Terlalu sempit. Apabila baginda solat malam, sering sahajar terlanggar kakinya dengan tangan isterinya. Apabila mengangkat tangan ke atas, sudah tersentuh silingnya. Jika benar manusia termulia ini mengutip zakat untuk masuk ke poketnya sendiri, sudah pasti dia tidak akan hidup demikian.

Dituduh susuk tubuh yang mulia ini mencipta Al-Quran dan wahyu itu bohong sebenarnya.
Sedangkan, apabila Aisyah RH dituduh melakukan perbuatan sumbang dengan Safwan selepas Perang Bani Mustalik, dalam peristiwa Hadith Ifki, baginda sendiri resah kerana tidak tahu siapakah yang betul. Wahyu ketika itu juga terputus untuk menguji ummat Islam yang diserang oleh orang munafiq yang mereka-reka cerita. Jika Al-Quran itu direka-reka, sudah pasti baginda akan pantas membersihkan nama Aisyah. Tetapi baginda ketika itu sampai tahap menyoal Aisyah RH: “Sekiranya kamu melakukan dosa, bertaubatlah kepada Allah. Sekiranya kamu benar, Allah akan membersihkan nama kamu” Sehingga menitis air mata isteri baginda itu.

Wahai pentohmah-pentohmah diri yang suci ini, wahai penghina-penghina yang mengeji peribadi yang murni ini, apakah kamu tidak memerhatikan keseluruhan kehidupannya yang mulia itu? Tidakkah kamu memerhatikan perawakannya yang cantik itu?
Ternyata, sesiapa yang berusaha merendah-rendahkan baginda, adalah serendah-rendah manusia yang hidup di atas bumi-Nya.

Wahai mereka yang setiap kali datang bulan muharram menyambut dengan pelbagai sambutan. Wahai mereka yang setiap kali datang 12 RabiulAwwal baru sibuk berselawat. Wahai mereka yang setiap kali datang 27 Rejab baru hendak mengadakan majlis keagamaan. Wahai mereka yang setiap kali datang bulan Ramadhan baru pergi ke masjid-masjid. Wahai mereka yang setiap kali datang 12 RabiulAwwal, baru hendak mengingati baginda dengan alasan kecintaan.
Kita ingin bertanya.
Apakah anda mengenali baginda?
Apakah anda mampu mempertahankan baginda dengan baik apabila baginda dihina?
Apakah anda mampu membuktikan baginda itu susuk termulia di atas dunia ini bila dia dikeji?
Apa yang telah kita lakukan pada sunnah baginda? Apakah daripada baginda yang kita bawa dalam kehidupan?

Kita bising mengetahui apa yang pasangan kita suka, kita tahu apa yang selebriti kita cinta, kita tahu apa yang silibus peperiksaan mahu, kita tahu apa yang pensyarah kita senangi, tetapi apakah kita mengetahui apakah yang baginda Rasulullah SAW kehendaki?

Kita bising hendak tahu apa yang boss kita benci, anda mesti hendak tahu apa yang guru kita larang, kita mesti hendak tahu apa yang pasangan kita tidak senangi, kita mesti hendak tahu apakah caramenjawab yang perlu dihindari, tetapi tahukah anda apakah yang baginda Rasulullah SAW hendak kita sisihi?
Sampai ke tahap mana kita mengenali baginda?
Sekadar tahu 12 RabiulAwwal? Awal muharram dan 27 rejab?
Tidak hairanlah kita ini hanya Islam omongan sahaja.

Sidang jumaat …

Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Sesungguhnya aku merindui ikhwanku”
Sahabat-sahabat bertanya: “Siapakah Ikhwanmu ya Rasulullah?”
“Mereka yang tidak pernah melihatku, tetapi berpegang teguh pada ajaranku”

Sidang jumaat,
Baginda merindui kita. Apakah kita merindui baginda?
Rasulullah SAW pada saat nazak, bertanya kepada Jibril AS,
“Wahai Jibril, apakah yang telah Allah sediakan untuk ummatku?”
Tidak baginda bertanya apakah Allah telah sediakan untuknya, apakah balasan Allah untuk segala pengorbanannya, apakah bentuk nikmat akan dia perolehi di syurga sana. Tetapi saat-saat akhir hayatnya, baginda bertanyakan keadaan kita.
“Ummati, ummati, ummati…” Itulah yang baginda sebutkan saat-saat hendak berpisah dengan dunia fana ini. Kita mengetahui bahawa, kematian itu sakitnya ibarat ditusuk 3000 pedang. Rasulullah SAW sendiri menyatakan dalam satu sabdanya: “Wahai Aisyah, sesungguhnya sakarat itu sangat menyakitkan”
Tetapi pada saat itu, kita yang diingti dan disebutkan baginda.
Apakah yang telah kita lakukan dengan kecintaan baginda ini?


Saat kesukaran yang teramat sangat. Saat matahari hanya berjarak sejengkal. Saat manusia semua tunggang langgang, kucar kacir dan kelam kabut. Saat terbukanya hijab alam ghaib di mata manusia. Saat yang amat menakutkan.
Ketika ini ummat manusia bergerak dari nabi ke nabi, rasul ke rasul memohon perlindungan. Nabi Adam tidak menerima. Nabi Ibrahim juga tidak menerima. Nabi Musa juga tidak menerima. Nabi Isa juga tidak menerima. Semua berkata: “Aku tidak pernah melihat Allah murka seperti hari ini, sesungguhnya Dia tidak pernah murka sebegini, dan mustahil untuk Dia murka seperti ini selepas hari ini. Hari ini aku aku, dan kalian dengan urusan kalian sendiri”
Tetapi, akan ada satu suara yang memanggil.
“Ummati, ummati, ummati”
Di tengah kedasyatan hari perhitungan itu, baginda muncul dinaungi awan. Menyelamatkan ummat baginda. Ambil berat akan perihal ummat baginda. Sedia memberikan syafaat pada ummat baginda.
Hingga sampai tahap, menangis bila melihat ummat baginda memasuki neraka.
Diriwayatkan juga bahawa Rasulullah SAW akan melihat nanti ada ummat baginda yang tidak menyahut seruan baginda, tetapi dibawa oleh malaikat-malaikat penjaga neraka. Maka baginda akan resah dan bertanya kepada Jibril:
“Wahai Jibril, itu ummatku. Kenapa mereka tidak bersamaku hari ini?”
Jibril akan menjawab: “Sesungguhnya, kau tidak mengetahui apakah yang mereka lakukan sepeninggalan kau”
Menangis baginda dengan tangisan kesedihan ketika itu.
Apakah kita yang akan menjadi penyebab tangisan baginda nanti?

Sidang jumaat….

Tidakkah kita malu dengan susuk tubuh yang mulia ini?
Sejauh mana cinta kita kepada baginda?
Lihatlah hari-hari kita? Bagaimana kita laluinya? Bagaimana kita isi kehidupan kita? Apakah dengan ajaran baginda, atau dengan ajaran manusia-manusia yang memushi baginda?
Kita berarak, membawa sepanduk,meraikan tokoh-tokoh maal hijrah, menonton televisyen rancangan maulid, tetapi bagaimana kehidupan kita sehari-hari?
Kita hafal sirah Rasul, belajar kisah perjuangan baginda, tetapi bagaimana pembuktian dengan amalan-amalan kita?
Kita rasa berat untuk dicucuk jarum atas perjuangan menegak dan menjaga agama Allah SWT. Baginda telah berikat perut menahan lapar, memerah keringat, tertumpah darah dalam perjuangan ini.
Apakah yang telah kita balas terhadap pengorbanan baginda?
Tidakkah kita ada rasa hendak berterima kasih kepada susuk mulia ini? Tubuh suci yang telah sakit disebabkan hendak menyampaikan Iman dan kepada kita? Tubuh suci yang telah dilukakan musuh kerana hendak menyampaikan Islam kepada kita? Tubuh suci yang telah diburu kerana hendak menyampaikan amanah Allah kepada kita? Tubuh suci yang telah berlapar kerana hendakkan kita merasai nikmat kehidupan yang sebenar.
Kita, baru diajak memakmurkan masjid, sudah bising satu dunia. Baru diajak menutup aurat, sudah rasa macam hendak kiamat. Baru diajak meninggalkan kata mencarut, sudah rasa macam hendak mati.
Ummat jenis apakah kita ini?

Berbanding terlukanya kita dengan orang kafir yang melukis karikatur Rasulullah, menghina Rasulullah di dalam facebook dan sebagainya, kita sepatutnya dan sewajarnya lebih terluka dengan ummat Islam yang meninggalkan ajaran Rasulullah SAW serta menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan rasulnya. Kita sepatutnya lebih terluka bila umat Islam sendiri mengenepikan undang-undang Islam dan memperkecilkan hukum-hukum Allah. Kita sepatutnya lebih terluka bila umat Islam sendiri tidak menyokong perjuangan Islam tetapi sebaliknya menyokong perjuangan kebangsaan yang tak pernah diajar pun oleh Rasulullah SAW.
Sidang jumaat ...
Sempena tahun baru hijrah 1432 ini marilah kita sama-sama berusaha memahami benar-benar apa yang di perjuangkan oleh baginda rasulullah SAW sepanjang hayat baginda dan berusaha dengan bersungguh-sungguh mencontohi perjuangan baginda. Marilah juga kita meninggalkan segala bentuk perjuangan yang kita rasa was-was dengan caranya, organisasinya dan matlamatnya seperti mana kita meninggalkan makanan yang kita rasa was-was halal haramnya. Semoga Allah mematikan kita dalam perjuangan yang diredhainya. Semoga kata-kata Saidina Ali ini memberi kekuatan kepada kita. Katanya;
Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Dan sekiranya kamu berasa seronok dengan dosa maka sesunggunya keseronokkan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal.
                 
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

* ubahsuai bebas dari langitilahi.com

Thursday, December 2, 2010

HIDUP DAN MATI

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِأَمَّا بَعْدُفَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam

Firman Allah SWT:

@ä. <§øÿtR èps)ͬ!#sŒ ÏNöqpRùQ$# 3 $yJ¯RÎ)ur šcöq©ùuqè? öNà2uqã_é& tPöqtƒ ÏpyJ»uŠÉ)ø9$# ( `yJsù yyÌômã Ç`tã Í$¨Y9$# Ÿ@Åz÷Šé&ur sp¨Yyfø9$# ôs)sù y$sù 3 $tBur äo4quŠyÛø9$# !$u÷R$!$# žwÎ) ßì»tFtB Írãäóø9$# ÇÊÑÎÈ

“ Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian, dan di akhirat kelak balasan kamu akan disempurnakan, barangsiapa yang diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka dia sesungguhnya telah berjaya. Sesungguhnya tiadalah dunia ini melainkan kesenangan yang menipu daya”

Sidang jumaat yang dirahmati Allah.....

Adakah anda merasakan perjalanan hidup kita ini panjang atau pendek?

Mungkin, kebanyakan kita hanya mengetahui kependekan umur kita, hanya apabila kita dijemput pulang oleh ALLAH SWT. Tetapi, ketika kita sedang melaluinya, kita terasa seperti umur kita sangat lama dan panjang.

Sebab itu, bila kita diarahkan untuk taat kepada peraturan ISLAM, dan hidup mengikut perintah yang ALLAH telah tetapkan, kita terasa seperti hidup kita yang panjang itu telah menjadi sukar. Hal ini kerana, kita terasa seperti perlu lama sangat duduk di bawah kongkongan.

Sidang jumaat……

Mati, tiada siapa tahu bila. Hidup, memang kita tengah hidup. Hidup dan mati, kedua-duanya pasti. Mati itu kepastian, dan hidup itu satu kebenaran.

Mati, segala amal sudah berhenti dikira. Mati ibarat gerbang, bila kita melepasinya, maka kita tidak akan mampu berpatah balik, tertutupnya gerbang itu maka tertutup segala peluang amal dan taubat. Bila mati, tiada apa yang mampu kita lakukan, tiada ikhtiar dan tiada pilihan. Semuanya akan bergerak dengan apa yang ALLAH aturkan untuk kita 100% tanpa diberikan lagi peluang kepada kita untuk berusaha mencapai sesuatu.

Tapi, ada manusia, dia mati sebelum mati.

Dia tidak hidup dengan sebenar-benar kehidupan sehingga dia dipanggil pergi.

Dia telah mati, sebelum nyawanya ditarik ILAHI.

Dan mereka adalah orang yang rugi.

ALLAH memberikan kita 24 jam dalam sehari. Rasulullah SAW, hidupnya juga dalam had masa ini. 24 jam sehari, diberikan kepada semua sama rata. Bayi, budak kecil, remaja, pemuda, orang tua, lelaki mahupun perempuan, semuannya mendapat waktu yang sama panjangnya.

Namun, jika kita teliti kehidupan kita, kita dapat melihat perbezaan kualiti kehidupan antara manusia.

Ada orang yang mempunyai 7 perniagaan dalam satu masa. Tapi dia dapat hidup dengan baik, sempat meluangkan masa bersama anak-anak, malah sempat pula menghadiri kuliah-kuliah agama dan berjemaah di masjid.

Ada juga orang yang mempunyai satu karier sahaja, tetapi dia tidak punya masa dengan anak-anaknya, malah kariernya yang satu itu tidak terurus. Dia juga tidak sempat meluangkan masa untuk pengisian jiwanya. Tidak sempat meluangkan masa ke masjid melainkan pada waktu solat jumaat sahaja. Apatah untuk menghadiri kuliah-kuliah agama untuk kepentingan dirinya di akhirat kelak.

Kedua-duanya diberi 24 jam sehari. Tetapi kenapa seorang kelihatan teramat lapang walaupun kerjanya banyak, dan seorang lagi kelihatan teramat sempit walaupun kerjanya sedikit?

Hal ini kerana, yang orang yang pertama dia benar-benar hidup dengan kehidupannya. Sedangkan orang kedua dia telah mematikan dirinya sebelum kematiannya.

Sehari ada 24 jam, dan orang yang pertama menyusun kehidupannya dengan kemas. Dia sudah tetapkan masa kerjanya dari bila sampai bila, dia sudah tetapkan masa dia bersama anak-anaknya dari bila sampai bila, dan begitulah dia menyusun masanya dalam segenap kehidupannya.

Orang yang kedua, dia mempunyai banyak masa lapang sebenarnya, tetapi dia sia-siakan dengan pelbagai perkara yang tidak membawa makna kepadanya. Masa lapangnya dihabiskan dengan bermain, tidur dan melakukan perkara yanng tiada kena mengena dengan urusan kerja, keluarga, mahupun akhiratnya. Akhirnya dia tidak mencapai apa-apa.

Sidang jumaat...

Setiap hembusan nafas kita, bukannya semakin panjang umur kita, berlalu setiap detik, bukannya semakin lama kita hidup, tetapi semakin pendek umur dan waktu kehidupan kita. Hembusan nafas takkan kembali, dan detik yanng berlalu takkan datang lagi.

Firman Allah SWT:

ÏMt/uŽtIø%$# èptã$¡¡9$# ¨,t±S$#ur ãyJs)ø9$# ÇÊÈ

“ Telah semakin dekat waktu itu(kiamat) dan bulan pun terbelah…” SurahAl-Qamar ayat 1.

Saya sering tertanya-tanya, bagaimana Rasulullah SAW, seorang manusia, yang masanya juga 24 jam seperti kita, menyandang tugas sebagai Rasul ALLAH, suami kepada 9 orang isteri dalam satu masa, bapa kepada anak-anak, datuk kepada cucu-cucu, sahabat kepada sahabat-sahabat, pemimpin kerajaan ISLAM Madinah, ketua kepada banyak siri peperangan, pendakwah kepada ummah, tetapi dia boleh menjalani kehidupannya dengan baik, teratur, tanpa tekanan dan stres.

Saya kira, ALLAH telah menyusun kehidupan Rasulullah SAW ini, dengan satu kehidupan yang amat cantik.

Baginda adalah manusia paling sibuk dalam dunia, namun baginda tidak sedikitpun kelihatan seperti orang sibuk. Kehidupan baginda tenang, tidak serabut dan sentiasa teratur. Tidak pernah saya jumpa hadith yanng menyatakan Rasulullah SAW ini ke sana ke mari bergegas-gegasan, tidak pula ada hadith Rasulullah SAW ini bergerak dalam keadaan tergopoh gapah, tiada juga hadith Rasulullah SAW ini berkerut dahinya memikirkan masalah itu dan ini. Yang ada adalah hadith-hadith menggambarkan karisma baginda menghadapi setiap masalah, ketenangan baginda dalam menempuh hari-hari perjuangan, dan kaliber baginda dalam menguruskan pelbagai permasalahan.

Rasulullah SAW ternyata qudwah terbaik manusia, untuk mereka yang inginkan kehidupan yang benar-benar hidup, sebelum mati yang sebenar-benar mati.

ôs)©9 tb%x. öNä3s9 Îû ÉAqßu «!$# îouqóé& ×puZ|¡ym `yJÏj9 tb%x. (#qã_ötƒ ©!$# tPöquø9$#ur tÅzFy$# tx.sŒur ©!$# #ZŽÏVx. ÇËÊÈ

“ Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh ikutan yang terbaik, bagi sesiapa yang inginkan ALLAH dan hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak Surah Al-Ahzab ayat 21.

Apakah kunci untuk mencapai makna kehidupan sebegini?

Keimanan kepada ALLAH SWT. Keyakinan bahawa kita ini akan kembali kepadaNya, dan setiap detik dalam kehidupan kita akan dihitung olehNya, membuatkan kita akan rasa bahawa, kita tidak boleh membazirkan hayat kita sewenang-wenangnya. Setiap masa perlu ada kualiti di dalamnya, setiap kerja perlu ada manfaatnya.

`yJsù ö@yJ÷ètƒ tA$s)÷WÏB >o§sŒ #\øyz ¼çnttƒ ÇÐÈ `tBur ö@yJ÷ètƒ tA$s)÷WÏB ;o§sŒ #vx© ¼çnttƒ

“ Dan barangsiapa yang mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, tetap akan dikira, dan barangsiapa yang mengerjakan keburukan walau sebesar zarah akan dikira” Surah Al-Zalzalah ayat 7-8.

Kita yakin, manusia-manusia yang berjaya seperti Abu Bakr RA, Umar RA, Umar Abdul Aziz, Salahuddin Al-Ayubi, Muhammad Al-Fatih, Hassan Al-Banna, dan banyak orang lagi, mereka adalah manusia yang mempunyai kefahaman seperti ini.

Tidak hairan lah, Usamah bin Zaid RA, ketika umurnya 18 tahun sudah dipilih memimpin bala tentera menentang Rom. 18 tahun hidupnya, setaraf dengan 50 tahun kehidupan kita. 18 tahunnya, adalah 18 tahun yang terisi. Tidak hairan juga bagi kita, Imam Asy-Syafie Rahimahullah, mampu menghafal Al-Quran pada umur 7 tahun, menghafal kitab Al-Muawatta’ Imam Malik pada umur 10 tahun, dan mengeluarkan fatwa pada umur 15 tahun. Hal ini kerana, kehidupannya benar-benar satu kehidupan yang tidak terisi dengan ‘kematian’.

Kita, apakah yang kita capai ketika umur kita 30 tahun?

Sidang jumaat sekelian...

Masa kita untuk bersusah payah, beramal, tunduk taat kepada ALLAH, hanya sebentar sahaja di dunia ini. Itulah dia semasa kita berada di alam kehidupan sebagai manusia. Waktu ini. Kemudian kita akan mati, dan melalui alam barzakh. Kehidupan di alam barzakh sudah bergantung kepada amal kita di dunia.

Panjang alam barzakh tidak kita ketahui. Seterusnya Israfil akan meniupkan sangkakala kedua ketika hari kebangkitan, dan kita akan berada di hari perhitungan. Hari itu, amal kita di dunia akan diperhitungkan dengan hitungan seketat-ketatnya. Lamanya hari itu, tidak kita ketahui. Amalan kita di dunia lah yang akan menentukan sama ada kita melepasi sirat atau tidak. Jika kita melepasi titian sirat, maka kita akan ke syurga. Jika kita tidak melepasi sirat, maka kita akan ke neraka. Semuanya ketika itu adalah bergantung kepada amal kita di dunia.”

“ Tahukah kita berapa lama masa kita akan berada di syurga dan neraka?”

“ Selama-lamanya” Tiada kematian selepas itu. Kita tidak akan mati lagi

Kita ini sebenarnya, beramal sebentar sahaja. Susah payah kita taat kepada ALLAH, perjuangan kita menentang kepuasan hawa nafsu serakah shahwat, memerangi tamak haloba dan perbuatan maksiat, melumpuhkan sifat mazmumah, menghadapi kesukaran menyebarkan ISLAM dan menyampaikan kebenaran dan menentang kemungkaran, semuanya hanya sebentar sahaja. Sekejap sangat. Sekitar dalam 80 tahun sahaja.

Tetapi, kehidupan kita selepas itu, kehidupan kita di alam barzakh, kehidupan kita di Padang Mahsyar semasa hari perhitungan, dan kehidupan kita yang mempunyai dua kemungkinan tempat akhirnya yakni syurga dan neraka, semuanya bergantung kepada kehidupan kita yang dalam lingkunan 80 tahun itu.

Baik kita di dunia, maka baiklah kita di akhirat.

Dibandingkan dengan tiga lagi alam yang menanti selepas alam kehidupan manusia, dengan alam yang terakhir bersifat kekal abadi, ternyata amal kita selama dalam sekitar 80 tahun itu adalah sedikit sahaja jika hendak dibandingkan dengan balasan yang akan kita dapati pada tiga alam seterusnya.

Jika kita baik di dunia, maka kehidupan kita di barzakh akan dipermudahkan. Kehidupan kita di hari kebangkitan semasa perhitungan ALLAH sedang berjalan turut akan disenangkan. Dan pengakhiran kita adalah syurga, yang kekal abadi selamanya. Semuanya dalam kesenangan dan kelapangan, dan kali ini ia berbentuk abadi, dan tidak akan dirampas pergi.

Jika kita buruk di dunia, maka kehidupan kita di barzakh akan disempitkan. Malaikat bersedia mengazab dari alam barkzakh lagi, dan dijadikan kubur kita lubang-lubang neraka bagi memanaskan kita di alam barzakh.

Seterusnya, di hari perhitungan kita akan dibangkitkan dalam keadaan telanjang, di dalam lautan peluh dengan matahari dekat sejengkal di atas kepala. Kemudian kita akan dimasukkan ke dalam neraka, yang panasnya walau hanya terpercik kecilan apinya ke dunia, dunia di akan hancur, dan di dalam neraka dasyat itu, kita akan kekal selama-lamanya di sana. Semuanya berbentuk kesusahan dan kesempitan, kesengsaraan dan kesedihan sahaja. Itulah yang dikhabarkan oleh hadith-hadith Rasulullah SAW.

Sebentar sahaja rupanya kita hidup. Sebentar sahaja rupanya kita beramal. Kalau hendak dikira 80 tahun, dengan kehidupan di dalam tiga alam, kemudian dengan kehidupan terakhir yang berbentuk abadi, memang boleh dikatakan bahawa 80 tahun itu teramat pendek. Kita beramal sedikit, tetapi ALLAH ternyata hendak memberikan kita banyak.

Benarlah bahawa, siapa yang berbuat kerosakan di atas muka bumi sepanjang kehidupannya, menentang agama ALLAH dan membelakangkan hukum-hukum dan perintahNya sepanjang kehidupannya, maka dia benar-benar manusia bodoh yang melontarkan dirinya sendiri di dalam kerugian. Hal ini kerana, dia menganggap kehidupan pendek inilah untuk bersuka ria, dan diisi dengan dosa kebanyakannya. Ternyata, dia gembira sementara, kemudian merana selamanya. Alangkah ruginya.

Melihat kependekan masa beramal ini jugalah, ia seharusnya sungguh menhginsafkan kita. Betapa benarnya firman ALLAH SWT di dalam surah Al- Asr:

ÎŽóÇyèø9$#ur ÇÊÈ ¨bÎ) z`»|¡SM}$# Å"s9 AŽô£äz ÇËÈ žwÎ) tûïÏ%©!$# (#qãZtB#uä (#qè=ÏJtãur ÏM»ysÎ=»¢Á9$# (#öq|¹#uqs?ur Èd,ysø9$$Î/ (#öq|¹#uqs?ur ÎŽö9¢Á9$$Î/ ÇÌÈ

“ Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Yang berpesan-pesan kepada kebenaran, dan berpesan-pesan kepada kesabaran” Surah Al-‘Asr ayat 1-3.

Bagaimana kita?

Tidakkah sedikit sahaja masa kita beramal?

Apa yang kita tunggu lagi?

Masih hendak mensia-siakan waktu?

Marilah kita hidup dengan sebenar-benar kehidupan sampai kita bertemu dengan kematian yang sebenar-benarnya. Marilah kita mengisi kehidupan yang sangat sekejap ini dengan berusaha bersungguh-sunguh melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala yang di tegah oleh Allah SWT.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ