Kualiti Hati

Dunia ini alam taklif. Kita semua para mukallaf atas perintah Allah swt. Jika dunia ini hanya penuh dengan nikmat tanpa ada kesukaran dan penderitaan, maka bagaimana kita dapat mengenal dan mensyukuri nikmat?

Thursday, February 25, 2010

KUALITI JIWA

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang jumaat yang berbahagia,
Di dalam kehidupan ini semua manusia mencari dan memerlukan ketenangan . Ketenangan itu hanya boleh dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”
Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan “membaca” kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.
Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli. Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.
Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya. Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu danmemasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”At Tahrim 8
.
Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!
Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan tiga perkara:
• Rasa kehambaan.
• Rasa bertuhan.
• Memahami maksud takdir dan ujian
Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita. Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
Sidang jumaat......,
Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. Firman Allah:

“Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman.” At Taubah: 51
Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita “memberontak” hati akan bertambah kacau.
Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – innalillah wa inna ilaihi rajiun. Firman Allah:

“…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali.” Al baqarah 156
Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini
Sidang jumaat.....
Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh Rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.
Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, “la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!”
Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para Rasul dan mereka yang beriman sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa. Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah.
Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allah:
         •            
Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” Al Fathu 4.
Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
Maksudnya: Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis.
Sidang jumaat....
Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu.
Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Allah ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Allah yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.
Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:

“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya
SurahAlBaqarah216

Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan… mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.
Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.
Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup.
Tadbirlah kehidupan kita sebaik-baiknya, namun ingatlah!! takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa.
Sidang jumaat....
Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.
Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.

Apabila ketiga-tiga perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati.
Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita. Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya.

Thursday, February 11, 2010

ERTI HIDUP ITU PADA MEMBERI


                الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam

53. Dan apa-apa nikmat Yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah; Kemudian, apabila kamu ditimpa kesusahan maka kepadaNyalah kamu meraung meminta pertolongan.

Sudah menjadi sunatullah, orang yang berjaya pada tahap "biasa-biasa" sahaja ialah orang yang membawa hanya dirinya sahaja berjaya. Tetapi orang yang berjaya pada tahap luar biasa ialah orang yang membawa orang lain berjaya bersamanya. Hakikat ini bukan sahaja dilihat dari sudut material, malah di sudut ilmu, iman, taqwa pun begitu juga. Orang yang paling beriman, bertaqwa dan berilmu ialah orang yang membawa orang lain bertaqwa, beriman dan berilmu bersamanya!
 Lihat sahaja Rasulullah s.aw. Baginda dikenali sebagai pemimpin yang berjaya. Dan di bawah didikannya telah lahir ramai pemimpin-pemimpin lain yang berjaya. Antaranya Sayidina Abu Bakar ra, Umar ra, Uthman ra, Ali ra dan sebagainya.
Sidang jumaat..
Bagaimana membawa orang lain berjaya bersama kita? Untuk itu kita mesti amalkan sikap memberi. Kita mesti memberikan ilmu, pimpinan, panduan, kemahiran kepada orang di sekeliling kita. Jangan bakhil menabur kebaikan. Monopoli ilmu, tenaga, bakat dan kemahiran yang ada hanya akan menyekat pertumbuhan dan perkembangan diri kita sendiri. Percayalah, memberi kepada orang lain samalah seperti memberi kepada diri sendiri. Tangan yang menghulur bunga mawar pasti berbau harum!

Justeru, Islam sangat menganjurkan agar umatnya memberi. Bahkan tidak salah kalau dikatakan menjadi seorang Islam secara automatik menjadi orang yang memberi. Islam ialah agama yang sangat sinonim dengan sikap memberi. Bayangkan, kedatangan Rasulullah s.a.w adalah untuk memberi rahmat kepada sekalian alam. Sejarah hidup Rasulullah saw memaparkan bagimana baginda memberikan tenaga, harta malah jiwanya untuk umat manusia mendapat hidayah Islam.
Sejarah kehidupan Rasululah saw diukir indah oleh sikap memberi. Baginda memberi bukan sahaja sewaktu senang, bahkan semasa susah. Sewaktu susah, Rasulullah saw memberi penuh kesabaran. Sewaktu senang baginda memberi dengan kesyukuran.
Pernah baginda tidak dapat tidur kerana memikirkan kalau-kalau masih ada wang berbaki yang belum disedekahkannya kepada fakir miskin. Dan pada saat-saat kritikal menjelang kewafatannya pun, baginda masih sempat memberi peringatan kepada umatnya tentang kepentingan mendirikan solat walaupun dengan kata-kata yang terputus-putus… as solah, as solah… Baginda masih memberi peringatan!
Sikap memberi Rasulullah saw ini (menyampaikan risalah Islam) telah diteruskan oleh para sahabat, tabiin, tabiut tabiin dan umumnya salafussoleh. Generasi yang hidup 300 tahun selepas Rasulullah saw ini terus memberi masa, tenaga dan jiwa mereka untuk menyebarkan dakwah, menyampaikan ilmu dan memberi bimbingan kepada seluruh umat manusia hingga dengan itu Islam telah tersebar di seluruh dunia.
Bayangkan apa akan jadi kepada manusia dan dunia jika sikap memberi ini terencat dan tersekat selepas kewafatan Rasulullah saw? Tentu sahaya dunia akan gelap dan manusia akan terus kufur. Sejarah mencatatkan 2/3 para sahabat Rasulullah saw telah mati di luar Semenanjung Arab semasa memikul tugas menyampaikan Islam. Ya, begitu agung dan tinggi sekali sikap memberi yang ada di dalam jiwa mereka.

Dulu, kini dan selamanya Islam sangat mementingkan tradisi memberi ini. Islam itu sendiri ertinya selamat dan memberi keselamatan. Dalam rukun Iman dan rukun Islam terpancar anjuran memberi itu secara langsung atau tidak langsung. Dalam bacaaan solat sahaja misalnya, kita diajar, dilatih dan didisiplinkan untuk memberi pujian kepada Allah, berselawat kepada Rasulullah, memberi salam kepada malaikat dan mendoakan orang-orang Islam yang lain.
Sidang jumaat......
Dalam adab-adab pergaulan juga, umat Islam digalakkan untuk memberi dalam sebaik sahaja bertemu dengan saudara seIslam kita. Dengan memberi salam bererti kita "memberi" doa demi kesejahteraan saudara kita. Begitu juga dengan membalas salam, kita membalas pemberian doa itu dengan satu doa yang setimpal malah disunatkan lebih lagi.

Dan di atas segala-galanya itu, Allah adalah Pemberi yang Maha Pengasih dan Pemurah. Nama-nama Allah seperti Al Rahman, Ar Rahim, Ar Razzak, Al A'fu, Al Ghaffar, At Tawwab adalah sangat berkait dengan sifat memberi. Malah salah satu nama Allah yang berkait secara langsung dengan sifat memberi ialah Al Wahhab (Maha Pemberi). Kita diwajibkan mengenal sifat Al Wahhab (Maha Pemberi) ini. Bukan sahaja wajib belajar, memahami dan menghayati Al Wahhab malah kita dituntut untuk meniru dan menteladani sifat mulia dan baik itu dalam kehidupan sehari.
Mari kita renungkan beberapa kriteria sifat Al Wahhab agar kita menyedari betapa hebat dan agungnya sifat memberi pada Allah . Berikut adalah sifat-sifat Al Wahhab:
i) Allah memberi tanpa pinta dibalas.
Berbeza dengan manusia yang sering memberi untuk mendapat balasan, Allah sebaliknya Maha kaya dan Maha Perkasa daripada sebarang sifat kekurangan dan kelemahan. Allah tidak memerlukan makhluk sebaliknya makhluk yang memerlukan-Nya. Allah mengurniakan begitu banyak nikmat, rahmat dan kurniaNya kepada setiap manusia, dan pemberian itu tidak mungkin dapat dibalas. Allah Maha Mengetahui hakikat itu, namun Allah terus memberi walaupun tidak dibalas oleh hamba-hamba-Nya yang kufur dan dibalas secara tidak setimpal oleh hamba-hamba-Nya yang taat.
Usahkan untuk membalasnya, mengiranya sahaja manusia tidak mampu. Kita meminjam terlalu banyak kepada Allah. Ironinya, walaupun pinjaman itu masih tertonggak, namun Allah tidak menarik semula nikmat pinjaman-nya kepada kita. Sekiranya Allah menghentikan pemberian-Nya, maka akan terhentilah perjalanan dunia dan seluruh kehidupan ini. Tetapi tidak begitu, walaupun begitu banyak "hutang" manusia kepada Allah yang tidak dilangsaikan, namun Allah tetap memberi… kerana Allah memberi tanpa minta dibalas.
ii) Allah memberi sebelum diminta.
Kebanyakan manusia, hatta yang pemurah sekali pun, akan memberi setelah diminta oleh orang lain. Allah sebaliknya, memberi sebelum diminta oleh makhluk-Nya. Manusia bersifat pelupa. Sering kali kita lupa meminta apa yang kita sendiri perlukan dalam hidup. Namun, Allah Maha Penyayang, Dia memberikan juga kita rezeki, perlindungan, kesihatan dan pimpinan walaupun kita sering lupa untuk meminta perkara-perkara itu dalam kehidupan ini.
Bayangkan apa akan jadi kepada kita jika Allah memberi hanya apabila kita memintanya? Boleh bernafaskah kita saat ini sedangkan pagi tadi kita "terlupa" memohon oksigen? Apakah kita masih beragama Islam pada hal kita sering lupa meminta dikekalkan hidayah ini di dalam diri kita? Mujur dan syukur, sifat Al Wahhab Allah itu terus pro-aktif (jika boleh dikatakan begitu) memberi, sentiasa dan selamanya, walaupun manusia sering lupa memintanya.
iii) Allah memberi berulang-ulangkali dan berterusan.
Sejak di alam rahim lagi manusia telah mengecap nikmat Allah yang tidak henti-henti dan berulangkali. Dalam tubuh manusia terjadi terjadi pelbagai proses yang unik dan kompleks. Proses bernafas, pernafasan, penghadaman, perkumuhan, pembiakan dan lain-lain sentiasa berlaku secara konsisten. Jantung terus mengepam, buah pinggang terus menyaring, neuron dalam akal terus berfungsi sejak bermulanya kehidupan.
Bukan itu sahaja malah ada berjuta-juta lagi proses yang sentiasa berlaku dalam seluruh makhluk ini – daripada haiwan, tumbuhan, bumi, bulan, matahari, bintang-bintang hinggalah ke seluruh semesta alam ini. Sentiasa ada kuasa yang mengatur, menyusun, menetapkan, menghidup, mematikan, menjalankan dan memberhentikan. Alam ini disusun secara sistematik dan proses pengaturan dan pelaksanaannya berjalan secara berterusan dan berulang kali. Untuk siapa? Ya, untuk manusia – khalifah di muka bumi.
Semua itu dalam kekuasaan Allah yang tidak alpa, letih, mengantuk, tidur dan lemah untuk memberi berulang kali dan berterusan. DIA mahu memberi berulang kali. Kekuasaan-Nya sangat hebat, sehingga DIA mampu memberi secara berterusan. Sebaliknya, kasih-sayang dan kekuasaan makhluk ada batasnya… kita tidak mahu dan mampu memberi secara berulang kali dan berterusan.
iv) Memberi segala sesuatu yang sangat berharga.
Allah memberi sesuatu dengan tujuan. Tuhan tidak memberi sesuatu dengan sia-sia. Manusia diciptakan dengan tujuan yang besar – hamba Allah dan khalifah di muka bumi). Oleh itu apa sahaja yang diberikan Allah adalah "besar" demi melaksanakan tujuan yang besar itu. Allah memberi manusia nikmat zahir yang berupa harta, makanan, minuman, pakaian dan lain-lain. Allah jua memberi manusia nikmat batin yakni ilmu, akal, hidayah, iman, taqwa dan lain-lain. Semua itu sangat berharga sama ada dinilai dari sudut material mahupun dari sudut rohani.
Manusia memberi juga tetapi sering kali yang diberikan itu sesuatu yang tidak berharga. Berapa banyak produk-produk yang tidak berkhasiat malah ada yang beracun beredar di pasaran. Begitu juga dengan perkhidmatan yang sering mengeksploitasi dan memanupulasi pelanggan. Sehingga dengan itu terpaksa digubal pelbagai undang-undang dan akta untuk melindungi para pengguna.
v) Memberi sesuatu yang baik untuk menghasilkan Kebaikan
Allah memberikan pelbagai kebaikan kepada manusia berupa harta, ilmu, kuasa, kesihatan, iman dan sebagainya. Dengan segala yang baik itu Allah inginkan hamba-Nya melakukan kebaikan kepada orang lain. Maksudnya, kebaikan yang diberikan kepada kita bertujuan untuk kita memberi kebaikan kepada yang lain. Antara pengertian manusia sebagai khalifah (mengikut sesetengah ulama) ialah memberi kebaikan kepada diri, orang lain dan persekitarannya.
Allah berikan kita harta, agar kita bersedekah. Diberikan-Nya kita ilmu agar kita mengajar dan berdakwah kepada masyarakat. Diberikan-Nya kita iman agar kita berbaik-baik, berkasih sayang dan berukhawah sesama manusia, kepada haiwan, tumbuhan bahkan kepada alam semesta. Tegasnya, Allah bukan sahaja memerintahkan kita menjadi orang yang baik tetapi mesti memberi kebaikan!
TIRULAH SIFAT AL WAHHAB
Kita dituntut meniru sifat Al Wahabb ini walaupun mustahil kita mampu menyamai-Nya. Oleh sebab itulah, ramai ulama berpandangan menjadi orang kaya yang syukur adalah lebih utama berbanding orang miskin yang sabar. Mengapa?
Selain daripada kesukaran mengawal hati agar tidak lalai ketika memiliki kekayaan berbanding mengawal hati agar tidak resah ketika ditimpa kemiskinan, orang kaya yang bersyukur adalah lebih baik daripada orang miskin yang sabar kerana orang kaya yang syukur lebih bermampuan untuk memberi.
Jika kesabaran simiskin hanya bermanfaat buat dirinya, sebaliknya sifat dermawan sikaya memberi manfaat kepada orang lain. Pemberian zakat, sedekah dan hadiah daripada orang kaya melimpah ruah manfaatnya kepada masyarakat. Rasulullah saw pernah bersabda:
"Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain."

Apakah manfaat daripada sikap memberi? Mengapa Islam sangat menggalakkan bahkan kekadang mewajibkan umatnya untuk memberi? Antara manfaatnya ialah:
i) Mengikis sifat mazmumah.
Dengan memberi kita akan dapat membuang sifat mazmumah seperti sombong, hasad dengki, tamak, pemarah dan lain-lain. Harta, ilmu, kuasa dan apa yang kita miliki adalah punca sifat-sifat mazmumah
Sebaliknya dengan memberi zakat, kita umpama mengeluarkan toksid-toksid daripada diri, harta seterusnya hati kita. Bila hati sihat, kesihatan itulah yang akan menumbuhkan sifat-sifat mahmudah seperti tawaduk, pemurah, pemaaf dan sebagainya. Yakinilah, sikap memberi adalah terapi, ubat dan penawar kepada penyakit-penyakit hati. Sebab itu bijak pandai mengungkapkan:
"Memberi lebih gembira daripada menerima."
ii) Mendapat lebih banyak.
Percayakah kita bahawa dengan memberi kita akan mendapat lebih banyak? Maksudnya, dengan memberi, harta, ilmu, iman, tenaga dan lain-lain milik kita tidak akan berkurangan malah akan bertambah. Ini disebabkan sebaik sahaja kita membuat keputusan untuk memberi apa yang kita miliki, Allah akan membuka pintu rezeki, ilmu dan iman yang lebih luas untuk kita.
iii) Mewujudkan perpaduan dan keharmonian.
Dengan hanya berfikir untuk mendapat, kita akan menjarakkan. Sebaliknya bila kita berfikir untuk memberi, kita akan merapatkan. Jika hendak disayangi, mesti terlebih dahulu menyayangi. Hanya dengan "memberi" kasih sayang kita akan mendapatnya.
 Oleh itu hidup ini adalah untuk memberi bukan sebaliknya. Manusia memikul peranan sebagai khalifah di muka bumi. Tugas khalifah itu adalah untuk memberi kebaikan – buat diri sendiri, orang lain dan persekitaran. Hanya dengan itu makmurlah muka bumi ini dengan pembangunan material, keamanan dan keampunan Tuhan.
Sidang jumaat....
Malangnya, ramai manusia mementingkan bagaimana untuk mendapat bukan memberi dalam hidup ini. Mendapat pada sangkaan mereka akan membahagiakan. Maka berlakulah persaingan malah perebutan. Padahal hidup ini bukan untuk bersaing tetapi saling berkongsi. "Kita di dunia ini bukan untuk bertanding tetapi untuk saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.
Kekayaan sebenar bukanlah kerana banyak "memiliki" tetapi kerana banyak "memberi". Justeru, Allah itulah zat yang Maha Kaya, kerana DIAlah yang paling banyak memberi. Jika kita banyak memberi kita akan meningkatkan kualiti jiwa. Jika kita banyak menerima kita akan hanya meningkatkan kuantiti harta. Kualiti jiwa itu matlamat, kuantiti harta itu cuma alat. Jangan tertukar antara alat dan matlamat…
Intailah hari-hari yang berlalu dalam kehidupan sehari-hari.
Berikanlah apa yang Allah berikan kepada kita kerana di sana ada hak orang lain yang diamanahkan kepada kita. Jangan jadi seperti Qarun yang menganggap kekayaan diri kerana kepandaiannya. Ya, kita yang memerah keringat. Ya, kita yang penat berfikir. Tetapi dengan tenaga siapa kita berusaha? Tangan, kaki, bahu dan segala pancaindera itu hakikatnya milik siapa?
Semua itu bukan milik kita. … segala-galanya pemberian Allah. Kita bukan pemilik, kita hanya peminjam. Sebagai khalifah, kita memikul amanah untuk memberi kebaikan dengan segala kebaikan yang kita terima.


Open emails faster.
Yahoo! recommends that you upgrade your browser to the new Internet Explorer 8 optimized for Yahoo!.Get it here! (It's free)