Kualiti Hati

Dunia ini alam taklif. Kita semua para mukallaf atas perintah Allah swt. Jika dunia ini hanya penuh dengan nikmat tanpa ada kesukaran dan penderitaan, maka bagaimana kita dapat mengenal dan mensyukuri nikmat?

Wednesday, February 9, 2011

CINTA AGONG DAN VALENTINE DAY

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam
Firman Allah SWT
                         
164. Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang Yang beriman, setelah ia mengutuskan Dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, Yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran Yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad Yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan Yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). dan Sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah Dalam kesesatan Yang nyata.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah.
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan juga Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine 's Day adalah haram kerana tidak pernah dianjurkan oIeh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya juga bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oIeh Islam.
Hadirin sidang Jumaat yang dikasihi,
Hari Kekasih juga digelar sebagai: “Valentine 's Day” yang disambut pada
14 Februari setiap tahun adalah sambutan yang dinanti-nantikan kebanyakan remaja bagi menyatakan rasa kasih sayang antara satu sama lain. Ia disambut dengan pelbagai cara dan acara bermula dengan kiriman kad dan bunga hingga parti tari-menari. Malah ada yang menyambutnya dengan pertemuan dan berakhir dengan perzinaan demi membuktikan cinta dan kasih sayang mereka.
Jelas dan nyata sekali bahawa sambutan ini bukan dari ajaran Islam yang suci, malah melanggar syariat dan bertentangan dengan tatasusila fitrah murni manusia.
Meskipun begitu, tidak dinafikan terdapat di kalangan remaja dan pasangan Islam di negara ini, turut meraikan "Hari Valentine" ini. Mereka meraikannya kerana ingin bersukaria dan terikut-ikut dengan budaya ini tanpa mengetahui sejarahnya.
Berdasarkan penerangan di atas, jelaslah bahawa tidak ada istilah “Hari Kekasih” atau “Hari Valentine” dalam Islam. Justeru, orang Islam tidak boleh menyambutnya, menyertainya dan merayakannya. Islam memang menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang antara satu sama lain, tetapi untuk meluahkan kasih sayang antara seorang lelaki dan perempuan yang bukan mahram perlu melalui saluran yang dibenarkan oIeh syarak. Bukan dengan jalan yang mendorong atau merangsang kepada kemungkaran dan maksiat.

Valentine’s Day adalah peristiwal cinta paderi bernama Valentine yang menginspirasikan masyarakatnya akan cinta.
Walaupun itu adalah sambut orang Kristian kerana mengingati cinta Paderi Valentine, tetapi nampaknya ramai orang Islam turut menyambutnya seakan-akan hari itu adalah hari mereka juga, dan seakan-akan Paderi Valentine itu adalah contoh mereka juga dalam bercinta.
Maka hari ini, mimbar hendak ketengahkan satu susuk peribadi unggul, bersama cinta baginda buat kita. Sebagai motivasi bukan sahaja untuk menjadi seorang pencinta yang unggul, tetapi juga sebagai motivasi untuk kuat meneruskan kehidupan, dan motivasi untuk terus gigih mencapai kejayaan akhirat.
Itulah dia cinta Rasulullah SAW.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah,
Pertamanya, kita melihat akan akar umbi cinta baginda. Apakah yang memulakan cinta seorang Rasulullah SAW?
Jawapannya keimanan baginda kepada Allah SWT. Itulah yang memulakan cinta seorang Rasulullah SAW. Allah SWT mendidik baginda untuk menjadi seorang yang ‘caring’ dan bertanggungjawab.
Daripada seorang manusia yang hanya beruzlah menyelamatkan diri sendiri daripada kerosakan masyarakat, selepas mendapat wahyu, baginda menjadi seorang yang terjun ke tengah masyarakat untuk menyelamatkan mereka. Apakah yang mengubah baginda?
Sudah tentu keimanan baginda kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:
     
“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia)” Surah Al-Muddaththir ayat 1 dan 2.
Jika bukan kerana baginda beriman kepada Allah SWT, maka baginda tidak akan berani bersusah payah menerima risiko diperangi. Baginda tidak akan mengambil risiko untuk dipulau dan dihalau.
Tetapi keimanan baginda kepada Allah SWT, mengasuh cinta baginda menjadi kebal, menyebabkan baginda menerima semua risiko, untuk menyelamatkan ummatnya.
Baginda tidak mengharapkan yang lain, selain kebahagiaan ummatnya. Baginda tidak mengharapkan balasan harta, selain ketaatan ummatnya kepada Allah SWT. Baginda tidak mengharapkan puja-pujaan, selain ketundukan ummatnya kepada Allah SWT. Baginda tidak mengharapkan pangkat dan tahta, selain kepatuhan ummatnya kepada Allah SWT. Kerana ketaatan ummatnya kepada Allah SWT, menjamin keselamatan setiap diri ummatnya.
Tidakkah kita melihat perkara ini?
Lihat sebentar dalam satu peristiwa baginda yang menyayat hati kita.
Ketika baginda berusaha berdakwah di satu tempat bernama Taif, baginda dibaling batu hingga cedera dan berdarah-darah.
Apabila Allah menghantar malaikat untuk menawarkan diri menghapuskan kaum Taif itu, Rasulullah melarang. Sabdanya yang bermaksud:
“Moga-moga nanti, muncul dari tulang belakang mereka, orang yang beriman kepada Allah.”
Hingga begitu sekali. Bahkan, tidak cukup dengan kata-kata itu, baginda berdoa pula mengadu kepada Allah SWT. Bukan mengadu akan sikap kaum Taif yang kurang ajar, tetapi mengadu akan kemungkinan bahawa kelemahan dirinya yang menyebabkan Kaum Taif tidak menerima hidayah Allah SWT.
“Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Rahim kepada siapa Engkau menyerahkanku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keredhaanMu. Pengetahuan Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya mukaMu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akirat, darpadai Engkau menimpakan atas diriku kemarahanMu atau daripada Engkau turun atasku azabMu. Kepada Engkaulah aku adukan permasalahanku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau”
Sidang jumaat yang dirahmati Allah,
Cinta baginda langsung tidak terpadam dengan hinaan, makian, cacian. Sedikit pun cinta baginda tidak bertukar menjadi benci hanya dengan seksaan. Ini jelas membuktikan betapa kukuhnya cinta baginda, yang terbina atas keimanan kepada Allah SWT tadi. Memang bukan harta yang diminta baginda, memang bukan pujaan yang dicari, tetapi baginda hanya mahu ummatnya kembali kepada Ilahi, menjamin keselamatan mereka sendiri.
Semasa pembukaan Makkah, pada hari kemenangan Rasulullah SAW, kaum musyrikin Makkah ketakutan kerana risau. Risau Rasulullah SAW membalas dendam ke atas mereka, kerana mereka tahu apa yang mereka pernah lakukan terhadap Rasulullah adalah amat menyakitkan hati sesiapa yang melihatnya.
Tetapi apabila baginda ditanya akan nasib Musyrikin Makkah, apakah jawapan baginda?
Baginda memulangkannya dengan soalan: “Apakah yang kamu sangka, aku akan lakukan?”
Kaum Musyrikin Makkah menjawab: “Kau akan mengampunkan kami.”
Rasulullah SAW tersenyum, dan menjawab: “Hari ini, aku maafkan kamu semua.” Dan membaca satu ayat daripada Surah Yusuf:
             
“Yusuf berkata: Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.” Surah Yusuf ayat 92.
Baginda bukanlah pendendam. Cinta baginda melangkaui segala kesukaran yang ditimpakan ke atas baginda. Sedikit pun cinta itu tidak tergoyah. Sedikit pun cinta itu tidak tergoyang. Asalkan ummat baginda kembali kepada Allah SWT, tidaklah baginda akan mengungkit dosa mereka yang lama.
Maka pada peristiwa Fathu Makkah itu juga kita dapat melihat bagaimana Rasulullah SAW mengampunkan Hindun binti Utbah, isteri kepada Abu Sufyan yang memakan hati Hamzah RA, paman kecintaan Rasulullah SAW. Kita lihat juga bagaimana Rasulullah SAW mengampunkan Wahsyi yang membunuh Hamzah RA. Dan kita lihat juga bagaimana Rasulullah SAW menerima kembali Ikrimah bin Abu Jahal yang menentang kemasukan baginda pada peristiwa Fathu Makkah itu.
Cinta siapakah lebih unggul daripada cinta baginda ini?
Cinta siapa?
Cinta siapa?!
Dan ramai yang tidak tahu, betapa cintanya baginda kepada ummat selepasnya.
Satu hari, Rasulullah SAW bersabda: “Aku merindui ikhwanku.” Para sahabat yang mendengar menjawab: “Bukankah kami ini ikhwanmu ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Tidak, kalian adalah sahabatku. Ikhwanku adalah mereka yang hidup selepasku, tetapi mereka beriman kepadaku sedangkan mereka tidak pernah bertemu denganku.” – Hadith Riwayat Bukhari.
Kita sorot kembali perjuangan baginda. Sekiranya baginda tidak bersusah payah dahulu, kita hari ini jadi apa? Dapatkah kita merasai nikmat iman dan nikmat Islam yang merupakan kunci kepada syurga?
Sekiranya bukan darah baginda yang tumpah, sekiranya bukan peluh baginda yang terperah, adakah mungkin Islam akan tersebar hingga kita hari ini dapat merasainya?
Rasulullah SAW nyata mengajar kita bagaimana menjadi pencinta yang sebenar bukan?
Pencinta yang sebenar adalah seperti Rasulullah SAW. Yang cintanya ikhlas. Tidak mengharapkan balasan. Yang diketahui hanyalah keselamatan orang yang dicintai. Maka apakah yang lebih selamat berbanding mendapat syurga Ilahi?
Kita perhatikan semula.
Baginda merindui kita. baginda harapkan agar Islam dan Iman itu sampai kepada kita.
Tetapi apakah kita merindui baginda? Cinta baginda ini, ke mana kita lemparkan? Kita letak di dalam hati, atau kita buang entah ke mana-mana?
Sidang jumaat……
Hari ini, kita lebih ingat Paderi Valentine daripada Rasulullah SAW. Hari ini, lebih ramai yang meraikan Paderi Valentine daripada meraikan Rasulullah saw.
Rasulullah SAW yang mencintai kita, tetapi kita tinggalkan cinta baginda. Sedangkan baginda mengajak kita ke syurga Allah SWT. Sedangkan baginda risaukan kita. Sedangkan kita ini, amat dekat di dalam hati baginda hingga baginda merindui kita.
Tetapi kita?
Kita melupakan baginda. Kita ambil cara hidup lain. Kita ambil cinta lain selain yang diajarkan oleh baginda. Kita ambil cinta Valentine yang kafir dan dimurkai Allah. Baginda bukan contoh kita. Kisah baginda tidak kita ketahui. Sirah baginda malas kita selak. Sunnah baginda kita campak ke tepi.
Ummat jenis apakah kita ini?
Tahun ini Allah menyusun Valentine’s Day berhampiran dengan Maulid Rasulullah SAW. Sambutan yang manakah lebih teruja untuk disambut oleh kita?
Inilah dia garisannya. Sama ada kita ummat Rasulullah SAW, atau kita hakikatnya tunduk kepada cara hidup yang bukan Rasulullah SAW anjurkan.
Cinta. Apakah erti cinta kalau ia akan melempar kita ke neraka. Dan lihatlah Rasulullah SAW. Ke manakah baginda membawa kita?
Adakah sama tempatnya dengan ke mana cinta Valentine membawa kita?Sudah pasti tidak sama sekali.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita menghargai dan menyambut cinta Rasulullah saw kepada kita dengan membuktikan kita juga mencintai baginda. Cara kita buktikan cinta kita ialah dengan menghayati benar-benar apa yang di perjuangkan oleh baginda rasulullah SAW sepanjang hayat baginda dan berusaha dengan bersungguh-sungguh mencontohi perjuangan baginda. Kita juga wajib mencintai apa yang baginda cintai dan membenci apa yang baginda benci.
Disamping itu marilah juga kita meninggalkan segala bentuk perjuangan yang tidak pernah diajar oleh Rasulullah SAW. Marilah kita tinggalkan perjuangan yang kita rasa was-was dengan organisasinya dan matlamatnya, seperti mana kita meninggalkan makanan yang kita rasa was-was atau ragu-ragu halal haramnya. Semoga Allah mematikan kita dalam perjuangan yang diredhainya. Semoga diakhirat nanti Rasulullah mengenali kita dan mengaku kita sebagai umatnya dan sudi memberi syafaatnya kepada kita.

                 
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ