Kualiti Hati

Dunia ini alam taklif. Kita semua para mukallaf atas perintah Allah swt. Jika dunia ini hanya penuh dengan nikmat tanpa ada kesukaran dan penderitaan, maka bagaimana kita dapat mengenal dan mensyukuri nikmat?

Friday, July 29, 2011

Di Ambang Ramadhan


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam
Firman Allah Ta’ala :

Maksudnya : “ Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa ”.
(Surah Al-Baqarah Ayat 183)

Sidang jumaat...

Selepas 11 bulan melalui kehidupan dalam setahun. Melalui itu, melalui ini, dicengkam jahiliyyah di sudut itu, diheret jahiliyyah di sudut ini, terjatuh dalam lembah dosa di sana, dan tersungkur di lembah dosa di sini, tiba-tiba Allah dengan rahmat dan kasih sayangNya, masih memanjangkan umur kita, memanjangkan keimanan diri kita, untuk berdiri di pintu gerbang RamadhanNya yang mulia.

Siapakah yang tidak teruja? Siapakah yang tidakgembira?

Kerana orang mukmin akan teruja dengan Ramadhan.

Kerana Ramadhan adalah salah satu motivasi, bagi seseorang itu meneruskan kehidupannya sebagai mukmin.

Sidang jumaat….

Bergelumang dengan amalan dan perbuatan jahiliyyah sepanjang 11 bulan, bertarung dan bertempur dengan mereka, pastinya akan memberikan kesan ke dalam jiwa kita. Luka-luka dan calar-balar hasil dari pertembungan antara kita dan jahiliyyah pastinya wujud. Justeru Ramadhan adalah waktu merawatnya.

Sabda baginda SAW

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, dengan penuh keimanan dan berkira-kira(mengharap), maka akan diampunkan oleh Allah akan dosa-dosanya yang telah berlalu.” Hadith Sohih Riwayat Bukhari dan Muslim.

Hadith ini memberitahu kita Ramadhan ini seakan-akan satu bulan untuk mencuci semula luka-luka yang ada. Agar kembali kuat dan bersih tubuh badan kita. Untuk meneruskan pula perjuangan 11 bulan yang seterusnya.

Diampunkan oleh Allah akan dosa-dosanya yang telah berlalu. Adakah kita masih tidak teruja? Mustahil bukan.

Bulan Ramadhan benar-benar taman bunga buat yang beriman. Saya ulang, bagi yang benar-benar beriman. Ya, sebab orang-orang islam yang tidak kuat keimanannya, tidak akan mampu merasai keindahan taman bunga ini.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan semua pintu syurga.” Hadith riwayat Bukhari.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit, dikunci pintu neraka, dan dibelenggu semua syaitan.” Hadith Riwayat Bukhari.

Di dalam Ramadhan, jiwa kita akan menjadi ringan dan rasa senang untuk melakukan kebaikan. Kerana orang-orang yang beriman akan benar-benar merasainya. Bagaimana tiba-tiba kekuatan muncul untuk berdiri solat tarawih. Bagaimana tubuh rasa ringan untuk berpuasa hari-hari. Amalan pula akan kelihatan mudah untuk ditambah, contohnya tidak kisah bersedekah banyak, membaca Al-Quran paling kurang sejuzu’ sehari. Dan bukan kita seorang yang merasainya. Wujud juga orang-orang lain di sekeliling kita yang merasainya. Sekaligus menambah kekuatan kita untuk beramal.

Inilah dia masanya. Menggunakan ‘booster’ yang Allah SWT berikan sendiri kepada hamba-hambaNya. Kita gunakan Ramadhan ini, selain merawat luka-luka kita, kita berusaha untuk mempertingkatkan pula diri kita.

Agar kita menjadi seorang yang lebih kuat, bagi menumbangkan jahiliyyah sepanjang 11 bulan yang akan datang.

Dan kini kita berada di hadapan bulan itu.

Dan kini, tinggal lebih kurang 3 hari sahaja. Siapakah yang berdoa agar umurnya dipanjangkan agar mampu memasuki Ramadhan? Sudahkah kita merancang aktiviti-aktiviti kita di dalam Ramadhan kali ini? Apakah cita-cita kita akan Ramadhan kali ini? Apakah strategi kita bagi menjadikan Ramadhan kali ini Ramadhan yang terbaik?

Adakah pemahaman kita terhadap segala ibadah di bulan Ramadhan adalah seperti yang dikehehendaki oleh Allah SWT?

Cuba kita renung semula hari-hari yang kita lalui di bulan Ramadhan yang lepas. Apakah benar-benar kita melaluinya seperti yang diperintahkan? Disamping itu kita juga perlu memperbetulkan persepsi kita terhadap setiap amalan yang kita buat di bulan Ramadhan. Diantaranya:

Kita sering meletakkan sunnah melewatkan sahur utk mendpt keberkatan melewatkannya, sedangkan hakikatnya bangun sahur itu juga,kita dilatih utk bangun awal sebelum subuh setiap hari untuk 'qiamulail', dan bersiap-bersiap untuk berjemaah subuh di masjid.

Kita sering menganggap 'solat tarawih' adalah ibadah sunat yg dituntut dilakukan di malam hari bulan Ramadhan, sedangkan hakikatnya ia juga adalah satu pentarbiayahan utk kita membiasakan diri mengimarahkan Rumah Allah apabila tamat Ramadhan... Moga-moga istiqamahnya kehadiran kita kemasjid sepanjang Ramadhan dapat kita lanjutkan ke 11 bulan berikutnya.

Kita memang disuruh menyegerakan berbuka puasa bila masuk waktunya. Itu memang boleh dan suka kita lakukan dan biasanya kita lakukan secara 'berjemaah'. Tapi mampunya kita melakukan suruhan tersebut juga 'membuktikan' bahawa kita memang boleh utk menyegerakan solat maghrib diawal waktu pada bulan-bulan lain, dan kita bolehmelakukan solat tersebut secara berjemaah.

Ramai yang mencari-cari 'lailatulqadar', di sepuluh malam terakhir Ramadhan. Memang kita di perintahkan berbuat demikian. Tetapi hakikatnya, Allah mengkehendaki kita lebih mendekati Nya pada 10 malam terakhir ini. Sebab itu di rahsiakan malam lailatulqadar. Dan dinegara kita ini sebaliknya yang selalu berlaku. Pada 10 malam terakhir inilah ramai orang sangat leka dengan persiapan untuk hari raya.

Puasa adalah merupakan amalan teras dlm bulan Ramadhan dan sering kita berhati2 dlm perkara2 yg membatalkan puasa kita. Tetapi kita sering lalai utk menjaga perkara2 yg membatalkan dan menghilangkan PAHALA puasa kita, seperti kita tidak menjaga pandangan mata kita, kita tidak menjaga percakapan kita dan pendengaran telinga kita.

Sidang jumaat….

Kepada sesiapa, yang memandang Ramadhan sebagai tradisi semata-mata amatlah rugi. Bulan Ramadhan tiba, puasa, beramal, kemudian Raya. Itu sahaja rutinnya. Rugi, rugi, rugi dan rugi. Hal ini kerana, Ramadhan hakikatnya adalah checkpoint dalam setahun. Tempat merawat luka. Tempat kita mempertingkatkan diri dan kondisi jiwa.

Sebab itu, Ramadhan adalah motivasi mukmin. Kerana, cita-cita mukmin adalah, dia ingin mencuci bersih kehidupannya dan dunianya dari jahiliyyah yang membawanya jauh daripada Allah SWT. Maka, bila berjaya masuk ke dalam Ramadhan, dia berusaha bersungguh-sungguh. Bahkan, sebelum masuk Ramadhan lagi, semenjak Rejab lagi, mukmin akan bersedia sebagai tanda terujanya dia dengan Ramadhan.

Di dalam Ramadhan kita meningkatkan diri, keluar dari Ramadhan kita menjadi seorang yang lebih bagus lagi. Yang lebih kuat untuk menumbangkan jahiliyyah. Yang lebih kuat untuk menjadi orangyang mampu mengajak orang lain jauh dari jahiliyyah. Dalam 11 bulan yang akan datang pula.

Ya. Sebab itu Ramadhan menjadi motivasi, pembakar semangat, buat manusia yang beriman.

Sebab itu Ramadhan, adalah batu loncatan, agar kita menjadi kuat, bagi mencapai apa yang dijanjikan Allah SWT di dalam perjuangan hidup didunia ini.



بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ