Kualiti Hati

Dunia ini alam taklif. Kita semua para mukallaf atas perintah Allah swt. Jika dunia ini hanya penuh dengan nikmat tanpa ada kesukaran dan penderitaan, maka bagaimana kita dapat mengenal dan mensyukuri nikmat?

Saturday, October 3, 2009
















BERIMAN DALAM MEMPERINGATI HARI KEBANGKITAN (KIAMAT)


MARILAH kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dalam melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang mendapat rahmat Allah Subhanahu Wata’ala di dunia mahupun di akhirat.
Sebagai umat Islam kita wajib beriman kepada Rukun Iman yang enam yang salah satu daripadanya ialah ‘Percaya kepada Hari Kiamat.’ Hari Kiamat yang disebut juga Hari Kebangkitan itu tetap akan berlaku, hanya manusia tidak mengetahui bilakah berlakunya kecuali Allah Subhanahu Wata’ala. Pada hari itulah seluruh umat manusia akan dihimpunkan untuk di hisab segala amal perbuatan mereka yang telah dilakukan ketika berada di dunia dan akan menerima pembalasan yang setimpal dari amal yang mereka kerjakan dari Allah Subhanahu Wata’ala dengan seadil-adilnya.
Apabila datangnya Hari Kiamat, ketika itulah sangkakala ditiup dan seluruh makhluk yang hidup di dunia ini akan mati. Ketika kejadian dahsyat itu menimpa dunia, berlakulah goncangan bumi yang amat mengerikan, langit-langit beserta isi alam ini akan menjadi kacau-bilau, bumi digoncangkan dengan sedahsyat-dahsyatnya, gunung-ganang berterbangan dan hancur luluh dengan sehancur-hancurnya, binatang-binatang berguguran, matahari telah digulung sehingga tidak bercahaya lagi, lautan yang besar meluap-luap dengan gelombang yang bergulung-gulung menghancurkan dan menelan setiap yang ada dipermukaan. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Haaqqah ayat 13 - 15, tafsirnya:

"Kemudian ketahuilah bahawa apabila ditiup sangkakala dengan sekali tiup dan bumi serta gunung-ganang di angkat dari tempatnya lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur, maka pada saat itu berlakulah Hari Kiamat."
Begitulah dahsyatnya keadaan Kiamat pada tiupan sangkakala yang pertama itu sehingga jika ada para ibu yang menyusukan anak akan menjadi bingung, wanita-wanita hamil menjadi keguguran, manusia berlari-lari kebingungan dan ketakutan. Mereka seperti dalam keadaan mabuk akibat terlalu ketakutan. Begitulah azab Allah yang amat berat lagi mengerikan.
Setelah berlaku tiupan sangkakala yang pertama, Allah memerintahkan Malaikat I’srafil meniup sangkakala kali kedua untuk kebangkitan semula. Pada kali ini, semua manusia akan diadili berdasarkan amalan mereka di dunia dahulu. Mereka tidak akan dizalimi, tidak akan diseksa kecuali disebabkan dosa mereka. Semua ini berdasarkan catatan dua malaikat yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala untuk mencatat segala kebaikan dan keburukan yang dilakukan oleh umat manusia ketika di dunia tanpa sedikit pun ditambah atau dikurangi dari amal-amal perbuatan yang pernah dilakukan, hatta sebesar zarrah akan tetap diadili oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Catatan tersebut ditutupapabila manusia telah mati, tetapi setelah tiba Hari Pengadilan, bukan amal itu diberikan serta dibuka di hadapan mereka masing-masing.
Pada ketika itu manusia akan mengetahui amal kebaikan atau keburukan yang mereka lakukan ketika berada di dunia. Di saat itu tiada siapa yang dapat mengubah catatan berkenaan. Masing-masing akan menerima hasil perbuatan mereka dalam bentuk buku catatan amalan mereka. Jika diberi dan diterima dengan tangan kanan, berbahagialah si penerimanya kerana itulah tanda bahawa keikmatan hidup di syurga bakal menantinya.
Syurga merupakan balasan dan ganjaran yang penuh kenikmatan dan kebahagiaan bagi mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wata’ala, yang berjuang di jalan Allah, menegakkan kebenaran, mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah Subhanahu Wata’ala.
Tetapi amat malang bagi mereka yang menerima buku catatan amalan mereka dengan tangan kiri kerana balasan ke atas mereka adalah neraka yang disediakan bagi mereka yang ingkar kepada Allah Subhanahu Wata’ala, manusia yang zalim, yang kafir, yang ingkar kepada kebenaran Al-Qur’an dan orang yang suka berbuat kemaksiatan semasa hidupnya di dunia. Pada ketika itu barulah mereka berkata menyesal. Ini jelas disebutkan dalam Surah Al Haaqqah ayat 27 - 29, tafsirnya :
             "Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu menjadi kematian pemutus (yang menamatkan kesudahanku, tidak dibangkitkan lagi). Harta kekayaanku tidak dapat menolongku sedikit pun, kuasa-kuasaku dan hujah-hujahku membela diri telah dibinasakan dan hilang lenyap dariku."
Ketika itu malaikat penjaga neraka diperintahkan menangkap orang-orang yang berdosa itu serta membelenggu mereka, kemudian mereka dibakar di Neraka Jahanam. Tubuh mereka dibelit dengan lingkaran rantai besi yang ukuran panjangnya 70 hasta.
Demikianlah gambaran betapa dahsyatnya Hari Kiamat atau Hari Kebangkitan itu, kerana itulah peringatan ini diulang-ulang oleh Allah Subhanahu Wata’ala di dalam Al-Qur’an agar manusia menjadikannya pengajaran, peringatan serta ikhtibar, sehingga mereka tidak tergolong di kalangan orang-orang yang sesat dan ingkar akan kebenaran Hari Pembalasan tersebut.
Ingatlah bahawa dunia ini hanya pinjaman dan inilah ketikanya untuk kita menentukan masa depan kita di akhirat nanti. Jika kita seorang yang taat perintah Allah pasti kegembiraan dan kebahagiaan yang akan diperolehi, tetapi jika seorang yang ingkar perintah Allah, hidup bergelombang dosa dan maksiat, maka kesengsaraanlah yang akan menanti. Bukankah Allah telah memperingatkan bahawa sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum melainkan merekalah yang merubahnya. Kerana itu kita perlu sedar jika kita telah banyak melakukan kesalahan dan dosa, bertaubatlah dengan segera. Jangan tunggu sehingga nyawa dikerongkong baru hendak bertaubat, kerana pada ketika itu tidak ada gunanya lagi.
Oleh itu sebagai umat Islam amalkanlah ajaran Islam itu secara menyeluruh, bukan sebahagian-sebahagiannya sahaja. Kerjakanlah segala yang diperintahkan Allah meskipun berat, tinggalkan segala yang dilarang walaupun pada kebiasaannya maksiat dan dosa itu menjanjikan keindahan dan keseronokkan, sedangkan hakikatnya akan mendatangkan kesusahan dan kesengsaraan di akhirat kelak. Apakah dengan peringatan Allah tentang Hari Kiamat kelak kita masih belum mahu insaf dan sedar? Ingatlah bahawa penyelesaian pada hari itu sudah tiada ertinya lagi. Oleh itu jika kita mahu selamat di dunia dan di akhirat, berpegang teguhlah kepada ajaran Al-Qur’an kerana sesungguhnya Al-Qur’an itu tetap menjadi peringatan dan pedoman bagi orang-orang yang bertaqwa. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah At-Takwiir ayat 26 -29, tafsirnya :

"Dengan yang demikian, maka ke manakah kamu hendak pergi kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Qur’an? Al-Qur’an itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam, iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan Islam yang betul. Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu mengenai sesuatu pun. Kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam."
Buatlah perhitungan ke atas diri kita sebelum kita diperhitungkan. Jangan lalai dan leka dengan keseronokan dunia semata-mata. Beramallah sebelum terlambat dengan memperbanyakkan istighfar, taubat dan muhasabah diri sendiri. Ingatlah hidup ini hanya sementara dan amal kebaikan sahaja yang akan dapat menolong dan menyelamatkan kita di Hari Kiamat kelak. Mudah-mudahan dengan demikian kita menjadi hamba Allah yang akan mendapat Husnuul Khatimah (kesudahan yang baik) dan bukan Su’uul Khatimah (kesudahan yang buruk). Amin Ya Rabal’alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Az Zalzalah ayat 6 - 8, tafsirnya :
  ••                  
"Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka balasan pekerjaan mereka. Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat balasannya. Barangsiapa yang mengerjakan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat balasannya pula."

Impian Umar Terhadap anakmu




السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.


Sidang Jumaat rahimakumullaah,
Di dalam sebuah rumah di Madinah, ‘Umar al-Khattab radhiyallaahu ‘anhu duduk bersama dengan sekumpulan sahabat. Beliau berkata kepada mereka, “nyatakan harapan kamu!” Salah seorang daripada mereka berkata, “impianku adalah untuk memiliki emas yang dapat memenuhi rumah ini, agar aku dapat membelanjakannya di jalan jihad.”
Kemudian ‘Umar berkata lagi, “nyatakan harapan kamu!” Seorang lagi sahabat berkata, “impianku adalah agar rumah ini penuh dengan permata dan mutiara agar semuanya dapat kubelanjakan untuk jihad dan kebajikan fi sabilillah.”
‘Umar berkata lagi buat kali yang ketiga, “nyatakan harapan kamu!” Lalu sahabat-sahabat yang ada berkata, “kami sudah tidak tahu apa yang patut diperkatakan wahai Amirul Mu’minin.”
Lalu ‘Umar berkata, “harapanku ialah agar rumah ini penuh dengan lelaki-lelaki seperti Abu ‘Ubaydah ibn al-Jarrah, Muaz ibn Jabal dan Salim budak suruhan Abu Huzaifah, agar mereka semua dapat digunakan bagi meninggikan kalimah Allah!”
Benar.
Semoga Allah mencucurkan redha dan rahmat-Nya kepada ‘Umar. Beliau sesungguhnya tahu apakah sebenarnya tunggak sebuah tamadun, bagaimana misi yang besar boleh Berjaya dan bagaimanakah ummah yang mati boleh dibangkitkan semula.
Walaupun sebuah negara dengan wawasannya memerlukan sumber untuk berjaya, mereka terlebih dahulu memerlukan manusia yang merancang dan menguruskan sumber-sumber itu. Malah di antara segala keperluan sebuah negara, keperluan tertinggi ialah pada lelaki-lelaki sejati, tunggak ummah berdiri.
Sidang Jamaah yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya lelaki-lelaki tulen itu amat sukar untuk dicari, sebagaimana sukarnya mencari intan dan permata. Kerana itu, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:

“Lelaki berkualiti seperti unta hanya satu dalyang mampu menanggung beban yang berat untuk perjalanan yang panjang, kamu sukar untuk menemuinya sebagai satu dalam seratus” [Hadith riwayat al-Bukhari]
Sejarah membuktikannya.
Catatan-catatan hebat di sepanjang sejarah itu berlaku bukan ketika umat bertemu permata berharga yang tidak pernah ditemui sebelumnya. Tetapi umat akan mencapai kegemilangan seiringian dengan kemunculan manusia-manusia hebat seperti Salahuddin al-Ayyubi dan Muhammad al-Fatih pembebas Constantinople.
Impian ‘Umar al-Khattab itu adalah sebenar-benar impian yang juga diimpikan oleh lelaki tulen yang hebat sepertinya.
Sidang Jamaah rahimakumullaah,
Lelaki tulen yang bagaimanakah yang kita impikan?
Apakah yang bermisai lintang atau muka dihias jambang?
Pelanggan tongkat ali atau penagih kopi keras malam dan siang?
Jika itulah ukuran ketulenan seorang lelaki, kita sudah memiliki cukup ramai lelaki yang sedemikian itu.
Sesungguhnya kehebatan seorang lelaki, tidaklah ditentukan oleh usia. Di sana terdapat ramai sahaja lelaki yang berusia 60 tahun tetapi memiliki jiwa dan pemikiran berusia 6 tahun. Mereka ini masih tenggelam dalam keseronokan dan hal-hal yang tidak bermakna dalam hidup ini. Sebagaimana mereka begitu mudah dirangsang keseronokan, begitu jugalah mereka ini begitu mudah dikalahkan oleh ujian. Sedikit cubaan hidup menumbangkan kekuatan dirinya.
Mereka ini tidak lebih daripada sekumpulan kanak-kanak yang terperangkap di dalam tubuh manusia dewsa.
Sedangkan di satu sudut yang lain, kita bertemu dengan orang muda yang kata-katanya, tingkah lakunya dan pemikirannya menyerlahkan kematangan dan kejantanan hakiki.
Di dalam satu peristiwa, ‘Umar al-Khattab radhiyallaahu ‘anhu telah lalu berdekatan dengan sekumpulan kanak-kanak lelaki yang sedang bermain. Mereka bertempiaran lari semasa melihat kelibat ‘Umar kecuali seorang iaitu ‘Abdullah Ibn al-Zubayr radhiyallaahu ‘anhu. Lalu ‘Umar bertanya kepadanya, “mengapakah kamu tidak lari bersama kawan-kawanmu?” Beliau berkata, “Wahai Amir al-Mu’minin, aku tidak melakukan apa-apa kesalahan untuk aku takut kepadamu dan jalan ini juga tidak sempit. Ruang yang ada cukup untuk engkau lalu!”
Begitu juga di dalam suatu peristiwa, seorang anak remaja masuk ke istana mengadap salah seorang Khalifah Bani Umayyah, untuk bercakap mewakili kaum kabilahnya. Khalifah berkata, “carikan lelaki yang lebih dewasa untuk mewakili kaummu!” Budak lelaki itu berkata, “wahai Amir al-Mu’minin, seandainya kepimpinan ditentukan oleh faktor usia, maka di sana ada lebih ramai orang lain yang layak menjadi Khalifah selain engkau.”
Ini adalah sebahagian daripada catatan sejarah yang memaparkan tentang kualiti jati diri dan kejantanan sebenar yang ditonjolkan oleh manusia yang hebat biar pun pada usia yang masih muda.
Sesungguhnya ketokohan seseorang itu tidak pernah ditentukan semata-mata oleh tubuh yang besar dan sasa.
Allah SWT mengungkapkan tentang perspektif orang-orang Munafiq di dalam firman-Nya:

“Apabila engkau melihat mereka, engkau akan berasa takjub dengan penampilan tubuh badan mereka” [al-Munafiqun : 4]
Abdullah ibn Ubai ibn Salul, ketua kaum Munafiq ini mempunyai tubuh badan yang hebat dan berpakaian dengan pakaian yang mengagumkan. Beliau dan kaumnya berasa bahawa penampilan itu mampu menyembunyikan kejelekan diri mereka yang sebenar.
Tetapi di dalam sambungan ayat ini, Allah memberikan ungkapan yang sangat tepat tentang hakikat mereka ini:

“Sedangkan mereka itu tidak ubah seperti kayu reput yang tersandar di dinding” (Al-Munaafiqoon: 4)
Ada manusia yang tersalah memandang, menyangkakan bahawa kayu itulah yang menampung tegaknya dinding. Hakikatnya kayu itu langsung tidak mempunyai sebarang makna. Tersandar menunggu reput dimamah hari.
Di dalam sepotong hadith Sahih yang lain, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “seorang lelaki berdosa yang bertubuh sasa di dalam hidup, tidak mempunyai sebarang nilai pada timbangan Akhirat walaupun pada kadar seekor nyamuk.”
Lalu Baginda membacakan firman Allah:

“ Mereka orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengan-Nya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang nilai di Akhirat nanti pada timbangannya” [al-Kahf : 105]
‘Abdullah ibn Mas’oud merupakan seorang lelaki yang ‘dhaif pada tubuh badan. Pada suatu hari salah satu kakinya tersingkap hingga kelihatan betapa kurusnya kaki itu. Sebahagian sahabat yang melihatnya ketawa. Lalu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “Kamu mentertawakan kakinya yang kurus, tetapi aku bersumpah demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, kaki-kaki itu lebih berat di Akhirat nanti berbanding Gunung Uhud!”
Sidang Jemaah sekalian,
Usaha untuk melahirkan manusia yang memiliki jati diri sejati di era ini adalah suatu cabaran yang sangat besar. Setiap anak yang lahir, mereka memiliki fitrah dan potensi yang sama. Akan tetapi ramai yang terjebak ke kancah kesilapan apabila membiarkan kemewahan dan kesenangan hidup merosakkan potensi ini hingga menjejaskan personaliti mereka.
Kembali kepada persoalan utama, apakah tindak tanduk kita yang membunuh potensi itu, dan apakah tindak tanduk kita yang boleh membangunkan potensi berkenaan?
Di mimbar Jumaat ini, kita rumuskan beberapa amalan yang terdapat di dalam Islam, khusus untuk membina jati diri anak-anak kita agar mereka membesar dengan nilai peribadi dan kematangan yang optimum:
Pertama: Gelaran
Di dalam Sunnah, banyak dipaparkan contoh bagaimana anak-anak diberikan gelaran Abu oleh Rasulullah sallaahu ‘alayhi wa sallam. Biar pun kanak-kanak ini masih kecil, tetapi gelaran Abu itu menyuntik nilai kedewasaan pada anak-anak ini.
Anas bin Malik radhiyallaahu ‘anhu menceritakan bagaimana beliau mempunyai seorang adik yang masih kecil, baru sahaja belajar menjamah makanan pejal. Dia digelar Abu ‘Umair. Apabila adiknya ini ada bersama Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam akan berkata, “Wahai Abu ‘Umair, apa yang Nughair sedang lakukan?” (Nughair itu adalah seekor burung kecil yang sering menjadi permainan Abu ‘Umair itu). [Hadith riwayat al-Bukhari]
Di dalam amalan kita yang mungkin penggunaan gelaran Abu atau Ummu itu agak janggal, terdapat amalan yang biasa dilakukan dengan motif yang sama. Anak-anak diberikan gelaran Abang Long atau Yop, Uda, Alang dan lain-lain, yang mana penggunaan gelaran ini kepada anak-anak membantu mereka untuk cepat berasa dewasa dengan sifat keabangan dan tanggungjawab.
Amalan seperti ini harus diteruskan dan hindarkanlah memberi gelaran yang membantutkan rasa kedewasaan anak-anak ini seperti Anje, Bucu, Boboi atau Adik kepada anak yang sudah sepatutnya dewasa dan menggalas tanggungjawab kehidupan.
Kedua: Membawa Anak-anak ke Majlis Orang Dewasa
Amalan ini juga membantu mendedahkan anak-anak kepada alam dewasa dan meningkatkan daya fikiran mereka. Ini merupakan amalan Sahabat-sahabat Nabi. Mereka sering membawa anak untuk hadir bersama di dalam majlis mereka bersama dengan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Muawiyah ibn Qarrah meriwayatkan daripada bapanya bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam apabila duduk bersama para sahabat, setiap seorang mereka akan membawa anak masing-masing yang mana anak-anak itu akan berdiri di belakang bapa mereka, lalu si bapa akan mendudukkan si anak di hadapannya. [Hadith riwayat al-Nasaa’ie]
Di dalam kehidupan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan para Sahabat, kehadiran anak-anak di dalam majlis mereka tidak pernah dianggap sebagai gangguan, malah anak-anak itu dibawa oleh ibu bapa dengan matlamat yang sama, mendedahkan anak dengan majlis orang dewasa untuk mendewasakan mereka.
Ketiga: Mengiktiraf Anak-anak di Khalayak
Sahl ibn Sa’id menceritakan bagaimana Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam di dalam satu majlis, baginda dibawakan cawan untuk minum. Di kanan baginda ada seorang kanak-kanak manakala yang dewasa berada di sebelah kiri. Selepas Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam minum, baginda bertanya kepada kanak-kanak itu, “apakah kamu benarkan aku beri cawan ini kepada orang-orang dewasa sebelum aku berikannya kepada kamu?” Kanak-kanak itu menjawab, “aku tidak akan mengalah dengan hakku untuk minum sejurus selepasmu.” Lalu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam memberikan cawan itu kepadanya. [Hadith riwayat al-Bukhari]
Kita sebagai ibu bapa dan orang yang dewasa harus menggalakkan perbuatan-perbuatan seperti ini, melayan anak-anak ini sesekali sebagai manusia dewasa untuk menimbulkan rasa tinggi harga diri pada diri mereka.
Di dalam sebuah hadith, Anas bin Malik radhiyallaahu ‘anhu menceritakan bagaimana Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam melalui sekumpulan kanak-kanak lalu baginda memberi salam kepada mereka. [Hadith riwayat Muslim]
Jangan sekali-kali memalukan anak-anak dengan memarahi atau menghina mereka di hadapan orang ramai kerana ia akan membunuh keyakinan diri dan menimbulkan dendam yang merosakkan emosi. Anak-anak, biar pun pada usia yang kecil sudah mempunyai harga diri yang mesti dihargai, khususnya oleh ibu bapa mereka sendiri.
Keempat: Mengajar Mereka Sukan Lasak
Abu Umamah ibn Sahl radhiyallaahu ‘anhu meriwayatkan bahawa ‘Umar al-Khattab radhiyallaahu ‘anhu menulis kepada Abu ‘Ubaidah al-Jarrah radhiyallaahu ‘anhu mengarahkan kepadanya, “ajarkanlah anak-anak kamu berenang” [riwayat Ahmad di awal Musnad 'Umar al-Khattab]
Anak-anak perlu didedahkan dengan sukan-sukan yang boleh meningkatkan semangat, kekuatan jiwa dan daya survival diri mereka. Malah dalam kehidupan seharian, anak-anak yang lelaki harus diajar membuat kerja yang kasar sesuai dengan kemampuan mereka seperti membasuh kereta, berkebun, mengecat, bertukang dan lain-lain aktiviti di bawah matahari untuk meningkatkan kelasakan mereka.
Kelima: Menghindarkan Anak-anak Lelaki Daripada Elemen Keperempuanan
Anak-anak lelaki wajar dihindarkan daripada aktiviti-aktiviti yang lazimnya dekat dengan naluri dan jiwa perempuan. Memakaikan anak-anak dengan pakaian yang berwarna atau bercorak seperti perempuan, memakai sutera dan barang kemas, bergelumang dengan muzik yang lembik biar pun ia nasyid dan hal-hal lain yang mengurangkan kelasakan anak-anak ini hendaklah dihindarkan
Keenam: Memberikan Tugasan dan Berkongsi Rahsia Dengan Kanak-kanak
Anas bin Malik radhiyallaahu ‘anhu menceritakan, “Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam datang kepadaku ketika aku sedang bermain dengan kanak-kanak yang lain, baginda memberi salam kepadaku dan menghantar aku ke suatu tugasan pendek. Ia telah melewatkan aku pulang kepada ibu. Apabila aku tiba di rumah, ibuku bertanya, “apakah yang telah melewatkan kamu?” Aku menjawab, “Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah menghantar aku ke suatu tugasan.” Ibuku bertanya, “Tugasan apakah itu?” Aku menjawab, “Ia adalah rahsia!” Ibuku berkata, “jangan ceritakan rahsia Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada sesiapa” [Hadith riwayat Muslim]
Ketujuh: Menghindarkan Anak-anak Daripada Tenggelam Dengan Kemewahan
Ibu bapa biar pun berada dan hidup mewah, mestilah mengenakan beberapa kesusahan kepada anak-anak sebagai latihan untuk membentuk jati diri mereka. Jika anak mahukan basikal, biar pun ibu bapa mampu membelikannya, anak wajar disuruh mengumpul duit sendiri agar mereka belajar menghargainya dan belajar berusaha.
‘Umar al-Khattab radhiyallaahu ‘anhu pernah berkata,

“Kuatkan semangat. Kesenangan dan kemewahan tidak kekal selama-lamanya”
Demikianlah sebahagian daripada pendekatan Islam dalam mendidik anak-anak agar mereka membesar dengan jati diri dan nilai kejantanan yang besar. Buku seperti Pendidikan Anak-anak di Dalam Islam karangan Sheikh Abdullah Nasih ‘Ulwan dan yang seumpama dengannya harus berada di tangan ibu bapa untuk mereka membesarkan anak-anak hebat, sebagaimana Allah mengurniakan mereka di permulaan kehidupan dengan kehebatan yang sama.
Sesungguhnya masa depan ummah ini bermula daripada apa yang berlaku di setiap rumah.
Berperananlah, seperti yang telah diperintahkan Allah.

Palestine 09..Sempurnakah Iman kita

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal :
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوْا وَنَصَرُوا أُولَٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia
Kini kita telah berada pada tahun baru 1430 Hijrah dan juga 2009 Masihi di mana umat Islam menyambut ketibaan tahun baru ini dalam keadaan peristiwa berdarah apabila saudara seagama kita di Semenanjung Gaza, Palestin di serang tanpa belas kasihan oleh zionis yahudi laknatullah dari arah darat dan udara sehingga mengorbankan berates-ratus nyawa termasuk kanak-kanak dan orang tua, manakala beribu-ribu lagi cedera setakat hari ini. Setelah lebih setahun bekalan makanan disekat, bekalan ubat-ubatan dinafikan, minyak dan gas dihalang, permit kerja dibekukan terhadap penduduk Gaza yang dikuasai oleh pergerakan HAMAS maka pengganas paling kejam di dunia iaitu zinonis yahudi memulakan serangan besar-besaran untuk membunuh umat Islam atas alasan pejuang Islam menyerang Israel. Alasan yang memualkan ini sentiasa dilaungkan untuk menipu dunia sedangkan zionis yahudi merupakan penceroboh yang merampas tanahair milik umat Islam kerana mereka telah ditanam kepercayaan melalui kitab yahudi Talmud dan terbaru Khakam iaitu ulama’ Yahudi telah mengeluarkan fatwa supaya bangsa Arab sama ada Islam dan Kristian mesti dihapuskan bagi memastikan yahudi menguasai Palestin seterusnya dunia
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Setiap kali membicarakan peristiwa Hijraturrasul s.a.w maka kita sentiasa diingatkan tentang penderitaan dan penyiksaan yang diterima oleh umat Islam semasa berada di bumi Mekah, tanahair sendiri semata-mata beriman kepada Allah dan rasulNya. Akhirnya umat Islam diizinkan untuk mendapat perlindungan daripada Raja An-Najjasyi di Habsyah bagi hijrah yang pertama sebelum berlakunya hijrah yang lebih besar sehingga terdirinya Daulah Islamiah di Madinah Munawwarah. Kita masih ingat bagaimana bersungguhnya nabi Muhamamad s.a.w dalam mengembangkan dakwah Islam termasuk berusaha menyampaikan dakwah Islam ini kepada penduduk Taif setelah tekanan di Mekah begitu hebat tetapi malangnya di sana baginda bukan sahaja dicemuh malah dilontar dengan batu. Pada waktu inilah nabi menadah tangan memohon bantuan daripada Allah seraya berdoa antaranya :
يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ أَنْتَ رَبُّ المُسْتَضْعَفِيْنَ وَأَنْتَ رَبِّي ، إِلىَ مَنْ تَكِلُنِي ، إِلىَ بَعِيْدٍ يَتَجَهَّمُنِي أَمْ إِلىَ عَدُوٍّ مَلَّكْتَهُ أَمْرِيْ

Maksudnya : Ya Allah Tuhan Yang Paling Penyayang, Engkaulah Tuhan kepada golongan yang lemah tertindas, Engkaulah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau menyerahkan diriku ini. Adakah kepada orang jauh yang memandangku dengan muka yang masam atau pun kepada musuh yang Engkau berikan kepada mereka kuasa untuk menguasai urusanku….
Bila kita ingat kepada peristiwa ini maka inilah juga doa saudara seagama kita yang sedang menunggu masa untuk dibom dan dibunuh sesuka hati oleh zionis yahudi di bumi Palestin tanpa mendapat mendapat bantuan dan sokongan sewajarnya daripada negara umat Islam yang lain. Rejim zionis bukan setakat mengebom rumah dan bangunan malah turut memusnahkan lima buah masjid dan dua dewan ibadat setakat ini. Malah ada bot bantuan kemanusiaan antarabangsa yang mengisi bekalan perubatan dan doktor-doktor bedah telah disekat dan diserang oleh tentera laut rejim Zionis. Kenyataan Perdana Menteri Israel bahawa yahudi disuruh oleh setengah pemimpin arab supaya menyerang Gaza ada kebenarannya bila pemimpin parti FATAH yang kalah dalam pilihanraya mengerah agar pegawainya untuk mengambil alih Gaza selepas sehari ia diserang. Begitu juga tindakan kerajaan Mesir yang pada mulanya begitu berdegil membuka pintu sempadan daripada dimasuki oleh penduduk Palestin yang ingin mendapat perlindungan serta menghalang sebarang bentuk saluran bantuan kemanusiaan oleh negara-negara lain yang ingin menggunakan laluan sempadan Mesir untuk masuk ke Gaza. Yang paling kejam lagi apabila ada sebuah keluarga yang mencari perlindungan daripada serangan tentera udara rejim zionis telah ditembak oleh pengawal sempadan negara Mesir di sempadan Rafah sehingga menyebabkan kematian seorang ibu dan anaknya yang masih kecil. Inilah yang berlaku kepada rakyat Palestin yang bukan sahaja dizalimi oleh rejim zionis tetapi juga kerajaan negara Arab yang berada di sekitarnya. Mereka diserang oleh rejim zionis keparat dan dibaham oleh kawan jahat. Selagi negara umat Islam dipimpin oleh pemimpin yang gila dunia maka selagi itulah penderitaan umat Islam dan keganasan rejim zionis serta sekutunya gagal dihentikan. Ayuh kita sedarkan pemimpin kita atau tukar kepada pemimpin yang cintakan Islam dan umatnya serta berani melaksanakan system Islam dalam negara tanpa gentar kepada musuh Islam

Sidang Jumaat Yang diberkati Allah ,
قال الرسول e : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ - رواه البخاري وأبو دأود والنسائي

Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya
Antara asas yang kuat dalam menjayakan Daulah Islamiah yang gemilang di bumi Madinah ialah terbinanya semangat persaudaraan yang kuat antara golongan Muhajirin dan Ansor. Semangat persaudaraan Islam yang berjaya mengikis semangat Assobiyah atau perkauman sempit ini telah mendatangkan kemenangan dan kemajuan yang gemilang kepada umat Islam. Pada hari ini kita dapat rasakan bagaimana perasaan persaudaraan di kalangan umat Islam yang semakin longgar akibat semangat kebangsaan yang kuat sehingga tidak lagi merasakan bahawa isu Palestin adalah isu umat Islam bukannya isu rakyat Palestin sahaja. Betapa ramai umat Islam hari ini yang terus seronok menyambut tahun baru dengan hiburan melalaikan ketika saudara seagama di Palestin meraung kesakitan. Gembirakah kita bila mengelilingi hidangan makanan yang lazat sedangkan umat Palestin tengah berdepan dengan peluru rejim zionis dari udara dan darat. Bahagiakah kita semasa berehat dalam mahligai indah sedangkan umat Palestin tengah meratap sedih melihat rumah mereka dibom menyembam tanah. Selesakah kita bila asyik bergurau senda dengan anak isteri sedangkan umat Palestin tengah berduka memangku tubuh anak kecil yang tidak bernyawa lagi. Sempurnakah iman kita sekiranya membiarkan saudara seagama menangis menderita sedangkan kita asyik bergelak ketawa
Sidang jumaat yang dikasihi Allah ,
قَالَ الرَّسُوْلُ e : مَنْ قُتِلَ دُوْنَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيْدٌ وَ مَنْ قُتِلَ دُوْنَ دِيْنِهِ فَهُوَ شَهِيْدٌ وَ مَنْ قُتِلَ دُوْنَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيْدٌ وَ مَنْ قُتِلَ دُوْنَ أَهْلِهِ فَهُوَ شَهِيْدٌ - رواية الترمذي دان النسائي

Maksudnya: Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia adalah mati syahid, Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan agamanya maka dia adalah mati syahid, Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan darahnya maka dia adalah mati syahid dan sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya maka dia adalah mati syahid
Hijrah turut mengajar erti pengorbanan di mana golongan Ansor sanggup memberi rumah, modal perniagaan malah ada yang mempunyai isteri lebih daripada seorang sanggup mencerai salah seorang isterinya untuk dikahwini dengan saudara Muhajirin. Sedarlah kita bahawa untuk mencapai kemenangan tidak cukup sekadar menitis air mata tetapi mesti berkorban segala apa yang ada termasuk menumpahkan darah ke bumi dalam memerdekakan Masjid Aqsa dan Palestin. Kita mesti menghargai betapa bernilainya Masjid Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat Islam serta yakin bahawa bumi Palestin adalah tanah wakaf milik seluruh umat Islam. Umat Palestin adalah penjaga kepada tanah wakaf milik kita semua. Ayuh bangun membantu umat Palestin dengan doa, harta dan jiwa raga kita serta memboikot barangan Israel dan sekutunya terutama Amerika Syarikat. Biar bermandi darah, pantang pejuang menyerah kalah. Biar nyawa melayang, bumi Aqsa mesti dimerdekakan. Biar bercerai nyawa daripada badan asalkan keganasan zionis yahudi dapat dihentikan. Beritahu kepada dunia bahawa umat Islam yang bermaruah tidak akan membiarkan tubuh umat Islam diratah dan bumi kita dijajah.
Sama-sama kita laungkan خَيْبَرْ خَيْبَرْ يَا يَهُوْد جَيْشُ مُحَمِّدٍ سَوْفَ يَعُوْدُ :Berambus! Berambus wahai yahudi! Tentera Muhammad kan kembali
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

SALAM PERKENALAN


KUMPULAN KHUTBAH
Assalamu'alaikum...
Alhamdulillah...bermula juga satu yang bakal berakhir..

Saya cuba memuatkan sebahagian khutbah jumaat dan hari raya yang pernah diperdengarkan di Masjid Al-Awwabin Bestari Jaya,Kuala Selangor. Sebahagian daripada khutbah di blog ini adalah diambil dari pelbagai sumber melalui internet dan di sesuaikan(edit)dengan keadaan masyarakat di Bestari Jaya.

Semoga blog ini memberi manafaat kepada para pengunjung.