Kualiti Hati

Dunia ini alam taklif. Kita semua para mukallaf atas perintah Allah swt. Jika dunia ini hanya penuh dengan nikmat tanpa ada kesukaran dan penderitaan, maka bagaimana kita dapat mengenal dan mensyukuri nikmat?

Sunday, January 10, 2010

Dunia ini Gelanggang Mujahadah

                   

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam

Marilah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah swt kerana member kelapangan kepada kita hari ini sehingga kita mampu dan di beri kelapangan  untuk dapat hadir ke masjid bagi menunaikan fardhu jumaat.   Allah swt telah membantu kita sehingga kita mampu melakukan tugasan kita hari.  Allah telah membantu kita sehingga  apa yang kita rancang telah terlaksana pagi tadi.   Allah telah memberi  kita kesihatan yang baik sehingga kita dapat menyiapkan kerja kita mengikut jadual.   Selalunya begitulah . Banyak kerja yang kita rancang dapat kita laksanakan.  Banyak tugasan yang diamanhkan kepada kita dapat kita laksanakan.  Cuma kita jarang  sedar bahawa semua itu dpat kita laksanakan dengan izin Allah swt. Akibatnya kita jarang rasa bersyukur pada Allah swt.   Akhirnya bila Allah uji sedikit kita sehingga kerja yang kita lakukan tidak dapat dilaksanakan kerana beberapa halangan, kita mula mengeluh.  Kita lupa bahawa rintangan dan halangan itu sebenarnya ujian dari Allah swt.  Ujian itu mungkin untuk meningkatkan keyakinan dan keimanan kita pada Allah swt.  Halangan dan rintangan tersebut mungkin untuk mengingatkan kita bahawa sebenarnya kita tak punya apa-apa kekuatan dan kemampuan untuk melakukan apa-apa pun kecuali dengan  kekuatan yang di beri oleh Allah swt.. La haulawala quata illa billah...

Sidang jumaat.....

Dalam hidup, kita sentiasa berdepan dengan dua perkara. Pertama, perkara yang perlu kita lakukan. Kedua, perkara yang suka kita lakukan. Sudah menjadi "sunnatullah", kedua-dua perkara itu saling bertentangan antara satu sama lain.

Biasanya perkara yang perlu kita lakukan adalah perkara yang tidak suka kita lakukan. Dan perkara yang kita suka lakukan adalah perkara yang tidak perlu kita lakukan.

Contohnya, sembahyang Subuh. Bila hampir masuknya waktu Subuh, perkara yang perlu kita lakukan ialah bingkas bangun, terus membersihkan diri, bersuci dan berwuduk.. Itulah "perkara-perkara" yang perlu kita lakukan. Pada masa yang sama, apakah perkara yang suka kita lakukan?

Ya, diikutkan rasa, kita suka untuk terus tidur dan bersenang-senang. Bangun Subuh ialah perkara yang perlu kita buat, manakala terus tidur ialah perkara yang suka kita buat.

Bagi anak-anak kita pula, perkara yang perlu mereka buat ialah menelaah dan mengulang kaji. Sebaliknya, perkara yang suka mereka buat ialah bermain secara keterlaluan, berbual-bual kosong, menonton dan berhibur.

Untuk berjaya, mereka mesti menelaah dan mengulang kaji. Itu yang perlu mereka buat. Namun, sekiranya mereka terus berhibur dan melakukan perkara-perkara yang suka mereka buat, tanpa kita dapat mengawalnya maka mereka akan menemui kegagalan dalam pelajaran.

Tegasnya, untuk berjaya dalam hidup, kita mesti lakukan perkara yang perlu kita buat walaupun kita tidak suka melakukannya. Tidak ada pilihan, paksa diri untuk melakukannya! Lawan godaan, hasutan dan rangsangan yang menggamit hati kita untuk melakukan perkara yang kita suka lakukan sahaja.

Dalam hidup, untuk berjaya dan bahagia kita perlu melakukan perubahan. Kita perlu keluar daripada "zon selesa" menuju "zon mencabar" kerana di zon yang mencabar itulah letaknya kemajuan, perkembangan dan peningkatan dalam kehidupan kita. Zon selesa ialah keadaan yang kita berada sekarang, sementara zon mencabar ialah keadaan yang kita inginkan pada masa depan.

Untuk mencapai apa yang kita inginkan, kita mesti melakukan perubahan. Kita perlu lebih berusaha, menambah ilmu dan berani melakukan langkah-langkah baru dalam kehidupan. Ringkasnya, kita perlu berubah. Tetapi perubahan itu biasanya "menyusahkan"- yakni canggung, kekok dan tidak selesa sifatnya.

Oleh sebab itulah ramai yang tidak mahu berubah. Mereka ingin terus selesa di zon selesa walaupun terpaksa menerima nasib atau menanggung keadaan yang sama. Kesannya? Mereka terus gagal, hina, miskin, lemah atau jahil kerana enggan berubah.

Berlakulah apa yang sering diungkapkan:
"Orang yang berjaya ialah orang yang memaksa dirinya berubah manakala orang yang gagal berubah hanya apabila terpaksa!"

Hidup ini adalah perubahan. Kata bijak pandai, yang tidak berubah hanyalah perubahan. Manusia tidak akan mampu menahan perubahan. Ia mesti berubah, atau dipaksa berubah. Mereka yang berubah dengan rela akan berjaya. Manakala yang berubah dengan terpaksa akan gagal.

Contohnya, mereka yang memaksa diri untuk berjimat ketika berada, akan berjaya menguruskan ekonomi dan keadaan kewangannya dengan baik dalam keadaan apa sekalipun. Sebaliknya, orang yang boros, akan "terpaksa" berjimat apabila gaji mula dipotong, dibuang kerja atau ditimpa musibah.

Perokok tegar yang memaksa dirinya untuk tidak merokok akan berjaya melepasi belenggu ketagihannya, manakala yang terus berdegil akan terus merokok hinggalah diberitahu bahawa dia mengidap barah paru-paru!

Untuk melakukan perkara yang "perlu" dibuat walaupun kita tidak "suka" membuatnya, menagih ketabahan, keberanian dan istiqamah (konsisten). Ini semua seolah-olah "menyeksa" diri sendiri. Ketika orang lain nyenyak tidur menjelang Subuh, mampukah kita bangun?

Ketika kawan-kawan leka melayari Internet, bermain komputer atau "video game", bolehkah kita terus belajar dan menelaah pelajaran?

No pain, no gain – tidak ada "kesakitan", tidak ada ganjaran.. Justeru, untuk berjaya "mujahadah" itu adalah wajib.

Mujahadah ertinya "berperang" dengan diri sendiri untuk melakukan sesuatu yang sangat dibenci oleh hawa nafsu. Hawa nafsu hanya inginkan kejahatan, kelalaian dan keseronokan. Sebaliknya, ia sangat bencikan kebaikan, peringatan dan ketaatan.

Menentang hawa nafsu, samalah dengan menentang diri sendiri. Terseksa. Ini yang menyebabkan satu mujahadah selalu patah. Atau belum pun bermujahadah sudah mengaku kalah. Terlalu sayangkan diri untuk "disakiti",

Padahal mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. Janganlah letih sedikit, tak boleh.  Pahit sedikit sudah mengeluh. Pedih sekelumit sudah mengaduh.

Dunia hakikatnya adalah gelanggang mujahadah. Kita di sini untuk "menanam". Di sana (akhirat) nanti barulah kita menuai. Musim bertanam memanglah payah – mencangkul, membaja, menjaga dari serangga dan bermacam-macam-macam lagi kesusahan. Bila menuai nanti baru terasa nikmat dan seronoknya.

Dunia diumpamakan tempat "membayar". Di akhirat nanti tempat "bermain". Pay now, play later. Bayar di sini, "berseronoklah" di sana. Apa sahaja di dunia ini menuntut bayaran. Pilihlah, sama ada untuk membayar dahulu, atau membayar kemudian. Tetapi sekiranya kita membayar dahulu, kejayaan di kemudian hari akan menjadi lebih manis dan bererti.

Orang mukmin sentiasa rela bersusah payah untuk melakukan ketaatan, kebajikan dan kebaikan. Hidupnya, terlalu sibuk dengan ibadah. Berpindah dari ibadah khusus kepada ibadah umum, berpindah lagi kepada ibadah sunat. Begitulah sehari semalam, sentiasa berpindah dari satu ibadah ke satu ibadah.

Banyak kepahitan yang perlu ditempuh oleh orang mukmin untuk menempah syurga selaras dengan sabda Rasulullah SAW:
"Syurga dipagari dengan kesusahan, manakala Neraka dipagari oleh keseronokan."
Sebaliknya, bagi orang kafir dan fasik mereka berpegang kepada konsep: Play now, pay later. Demikianlah kehidupan, tidak ada yang percuma. Apatah lagi kehidupan di syurga.

Justeru marilah sama-sama kita berpesan agar rela menerima "kepahitan" yang sedikit dan sementara demi menikmati kemanisan yang banyak dan abadi di sana. Oh, alangkah jahilnya kita sekiranya rela menanggung seksa yang begitu dahsyat dan kekal di akhirat hanya kerana nikmat yang sedikit dan sementara di dunia.

Sebaliknya, kita bijak kalau terus bermujahadah untuk melakukan perkara-perkara yang perlu dilakukan sehinggalah tiba ketikanya kita boleh melakukan apa sahaja perkara yang kita suka melakukannya. Di mana? Bila? Jawabnya, di SYURGA!

Saudaraku, aku sudah menunaikan janjiku. Jalannya tidak ada lain.. BERMUJAHADAHLAH.

Sidang jumaat....

Kita memang sibuk setiap hari. Tetapi yang  penting kita tanyakan diri terlebih dahulu, sebok itu untuk apa? Sebok atau buat-buat sebok. Sebok atau menyebok? Sebagai muslim, sebok kita mesti disebabkan kerana ibadah. Tidak kiralah ibadah asas, ibadah umum atau ibadah sunat. Atur sahaja kehidupan mengikut prinsip-prinsip ibadah, nescaya kesebokan kita berbaloi. Sebok kerana Allah.

. Ah, malu kita dengan para sahabat… masa yang diberikan kepada mereka dan kita sama sahaja, tetapi mereka bertebaran ke seluruh muka bumi menyebarkan Islam. 3/4 daripada mereka meninggal dunia di luar jaziratul Arab. Sampai ke Cyprus, India, China dan Asia. Tanpa kapal terbang, tanpa kemudahan IT dan alat-alat canggih seperti yang dimiliki kita hari ini. Sebok, ya mereka sebok sekali.

Kita? Wah, berapa banyak masa di hadapan TV? Berapa banyak masa membaca Al-Quran berbanding membaca Koran (akhbar). Kalau nak dikatakan sebok, memang sebok… Ada diantara kita yang sambil memandu atau menunggang motosikal masih sempat ber'SMS'. Menguyah makanan sambil berbual di talipon bimbit. Yang berkerja sambil tidak sempat menziarah ibu-bapa di kampung. Mahasiswa/i atau pelajar di IPT dan IPTA  'terlupa' menalipon ibu-bapa… sebok sangat.

Manusia menjadi hamba apa yang dicintainya. Apa yang kita cintai? Itulah yang akan menyebokkan kita.. Para sahabat sudah merasa berdosa jika mereka tersilap dalam memilih keutamaan dalam melakukan kebaikan – "khilaful Aula". Kekadang mereka merasakan begitu sukar memilih antara bersedekah dengan solat sunat, berdakwah dengan berniaga, berjihad dengan menuntut ilmu… antara yang baik itu, mana yang lebih baik mengikut masa, situasi dan kondisi. Mereka cintakan Allah, mereka disebokkan kerana Allah. Dengar apa yang dirintihkan oleh Sayidina Umar Al Khattab, "aku tidak tidur di malam hari, bimbang urusan ku dengan Allah tidak selesai. Aku juga tidak tidur di siang hari takut urusanku dengan manusia tidak selesai." Ertinya apa? Ya, Umar adalah individu yang paling "sebok" sewaktu memimpin urusan umat Islam.

Ditengah-tengah kekalutan dan keserabutan kita, kononnya terlalu sebok… berhenti sebentar. Renungi dalam-dalam, panjang-panjang, apa yang sebenarnya kita sebokkan? Bimbang, kesebokkan kita ada satu "deraan" yang kita cipta sendiri akibat membelakangkan kecintaan Allah. Stress, "tension", boring… adalah toksid baru untuk jiwa manusia moden yang meremehkan kekuasaan Allah. Cari semula pangkal jalan dan tujuan hidup. Tanyakan semula apa yang aku cari dengan hidup yang singkat ini.

Syaitan, musuh yang tidak pernah tidur. Malaikat, pencatat setia setiap masa. Siapa teman kita dalam kesebokan waktu? Suara siapa yang sering berbisik di hati kita? Ilham dari para malaikat atau waswas yang datang daripada syaitan. Kasih-sayang Allah sesungguhnya masih sudi singgah di hati yang berdosa. Kekadang "jemputan ke daerah kebaikan" singgah secara tiba-tiba. Kutiplah titipan kasih daripada Allah apabila suara hati kita tiba-tiba berbisik, "sampai bila aku harus begini…" Kata hukama, "apabila seseorang didatangi rasa hati yang begitu, ertinya dia telah menerima jemputan Tuhan untuk datang ke daerah kebaikan!"

Sidang jumaat...

Janganlah  berlengah lagi , perhatikan kesebokan  kita… Untuk siapa, apa, kenapa dan ke mana? Jika ternyata, sudah tersasar, perbetulkan segera. Biarlah kesebokan kita  dapat  menghindarkan kesebokan kita di akhirat. Ingatlah kesebokan di akhirat itu adalah di Neraka! Sedangkan  Syurga itulah tempat rehat yang kita inginkan.  Allahumma zukna. Amin.

 

                      

1. Demi Masa!

2. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian -

3. Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.

 

 



Open emails faster.
Yahoo! recommends that you upgrade your browser to the new Internet Explorer 8 optimized for Yahoo!.Get it here! (It's free)

No comments:

Post a Comment