Kualiti Hati

Dunia ini alam taklif. Kita semua para mukallaf atas perintah Allah swt. Jika dunia ini hanya penuh dengan nikmat tanpa ada kesukaran dan penderitaan, maka bagaimana kita dapat mengenal dan mensyukuri nikmat?

Thursday, April 29, 2010

Sinergi Memanfaatkan Perbezaan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Ketika berdepan dengan ujian dan masalah kehidupan, mungkin ada sesetengah kita mengimpikan sebuah dunia yang semuanya sama seperti kita. Biar sependapat, sepemikiran, satu selera dan kemahuan, malah mungkin satu bangsa, satu bahasa bahkan satu jantina.

Tetapi semua itu adalah impian yang mustahil. Bukan sahaja mustahil malah tidak perlu. Manusia tidak perlu kepada semuanya serupa dan satu. Malah manusia sebetulnya perlu kepada kepelbagaian dan perbezaan.


Justeru Allah SWT menyebut di dalam al-Quran:



Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). [Al-Hujuraat : 13]

Yang menjadikan manusia itu ada lelaki dan ada perempuan adalah Allah.

Yang menjadikan manusia itu berbeza bangsa dan berbeza bahasa juga adalah Allah.

Jika segala perbezaan antara lelaki dan perempuan, serta kelainan antara bangsa-bangsa yang wujud di dunia ini, kita anggap ia sebagai punca masalah, apakah kita mahu menisbahkan masalah kita kepada Allah? Jika hidup jadi sulit kerana suami gagal memahami isteri kerana dia seorang perempuan, seorang yang berbangsa Melayu hidupnya jadi sulit kerana gagal memahami jirannya kerana beliau berbangsa lain, apakah kesulitan itu salah Tuhan?

Naudhubillahi min dhaalik!

Harusnya kita semua tidak lupa, mengapa perbezaan itu diciptakan Allah.

Allah menciptakan manusia itu berbeza jantina, berbeza bangsa dan budaya, bukan untuk mereka berbalah dan tenggelam dalam khilaf dan masalah. Sebaliknya atas satu tujuan yang besar:



Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan Yang lain).

Ya, segala perbezaan itu tujuannya adalah supaya manusia mengecam dan mengenal. Belajar antara satu sama lain. Kerana manusia sering menjadi musuh kepada apa yang dia tidak tahu.

PERBEZAAN DALAM DUNIA RUMAHTANGGA

Sulit sekali sebuah rumahtangga mahu dikendali dengan bahagia, jika suami tidak dapat mengecam perbezaan cara berfikir dan bekerja sang isteri yang merupakan seorang perempuan. Apa yang mahu dinikmatinya, hanyalah pada perbezaan fisiologi, perbezaan tubuh badan antara lelaki dan perempuan. Tetapi perbezaan akal, emosi, dan pertimbangan, suami sering sahaja mahu isterinya berfikir seperti dia, faham seperti fahamnya dia dan membuat keputusan seperti keputusan dia.

Itu mustahil.

Lelaki dan perempuan berbeza pertimbangan.

Wanita itu kekuatannya adalah pada emosi dan perasaan. Kerana itu biar pun tubuhnya tidak segagah seorang lelaki, Allah menjadikan wanita sebagai pihak yang hamil mengandungkan anak ditumpang 9 bulan di dalam perutnya. Itu memerlukan kekuatan perasaan lebih daripada sekadar kekuatan fizikal menanggung berat 10 atau 20 kilogram selama 9 bulan. Lelaki tidak layak untuk hamil kerana perasaan lelaki tidak sekuat perempuan.

Justeru jangan dimusuhi perasaan wanita. Kerana perasaan itulah ibumu lulus melahirkan kamu dan adik beradikmu.

Namun wanita juga harus belajar untuk faham. Ketika perasaan menjadi kelebihan dirinya, perasaan juga sering menimbulkan kesulitan kepada suami, yang diciptakan Allah pertimbangannya lebih kepada akal. Jangan sering membebankan suami dengan kehendak perasaan. Sebaliknya hargai suami yang biar pun kurang menunjukkan emosi, tetapi sering panjang akal fikirannya.

Allah melantik suami sebagai pemegang amanah menguruskan TALAQ kerana suami sebagai lelaki harus panjang akal. Hitungannya mendalam. Fikirnya tidak mengikut keadaan dan perasaan. TALAQ musnah jika dikendalikan dengan emosi. Justeru suami harus menyedari akan hal ini, demikian juga sang isteri.

Kedua-duanya mesti belajar menguasai ilmu untuk kenal perbezaan di antara lelaki dan wanita.

Di dalam al-Quran ilmu itu ada. Di dalam Sunnah ilmu itu luas. Di dalam ilmu-ilmu moden juga panduan sudah banyak dirumus dan dibukukan. Hanya tinggal kemahuan untuk belajar. Supaya jangan suami dan isteri terus bermusuhan dengan perbezaan yang dia tidak tahu, dan tidak bisa mengendalikannya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

PERBEZAAN DALAM SEBUAH KOMUNITI

Demikian juga dengan perbezaan bangsa, bahasa dan budaya. Jika kita melihat kewujudan masyarakat majmuk ini sebagai punca masalah, maka ia akan terus memberi masalah kepada kita. Tetapi sebagai Muslim, kita sedar bahawa kemajmukan itu Allah yang mengadakannya. Dan Allah tidak mencipta apa sahaja hatta seekor lalat sekali pun, tanpa sebab dan sia-sia. Justeru kita harus kembali kepada tujuan tersebut dan mengambilnya sebagai tanggungjawab.

Apa sahaja ilmu yang bisa membantu kita untuk lebih kenal dengan siapa jiran, siapa rakan dan siapa manusia yang berada di sekitar kita, mesti diangkat sebagai ilmu yang fardhu untuk dipenuhi.

Lihat sahaja bagaimana kepelbagaian bangsa memberikan pelbagai manfaat apabila ia diambil secara positif di dalam catatan Sirah. Umat Islam mengambil idea bangsa Parsi daripada Salman al-Farisi untuk menjaga keselamatan Madinah yang bakal diserang Tentera Ahzab, dengan membina parit besar di Timur Laut kota itu. Idea yang tiada dalam pemikiran bangsa Arab ketika itu, tetapi biasa di kalangan bangsa Parsi.

Demikian juga selepas berlakunya Perang Badar, tawanan-tawanan perang ditawarkan pembebasan dengan syarat kemahiran mereka membaca digunakan untuk mengajar anak-anak umat Islam kemahiran yang penting itu. Selain anak-anak Muslim mendapat manfaatnya, pengalaman mengajar itu juga pasti memberikan kesan positif kepada diri tawanan perang tersebut.

Sidang Jumaat sekalian,

Perbezaan juga bukan hanya pada soal perbezaan jantina dan bangsa, malah berbeza agama itu juga berlaku dalam lingkungan hikmah dan aturan Allah.

Renungi firman-Nya:



Dan kalaulah Tuhanmu (Wahai Muhammad) menghendaki, tentulah ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama Yang satu. (tetapi ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. [Hud : 118]

Allah SWT mahu manusia mengambil peranan mengurus dan mentadbir perbezaan itu. Menggunakan akal fikiran, ilmu dan segala kemudahan yang ada untuk mewujudkan suasana yang harmoni, hidup dalam kepelbagaian dan aliran. Bukankah ini, cara kerja Nabi SAW? Tidakkah ini yang menjadi sebahagian langkah awal tatkala berlangsungnya HIJRAH ke kota Madinah itu?

Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita untuk bertindak bijak mengendalikan perbezaan-perbezaan kecil dan besar yang berlaku di antara agama.

KEPAHLAWANAN MENURUT ISLAM

Mungkin ada yang berkata, “mengapa kita sahaja yang harus berusaha secara positif? Tidakkah itu suatu perkara yang tidak adil? Kita kalah jika kita tidak bertindak balas?”

Perkataan-perkataan itu memang berbunyi pahlawan. Tetapi Islam mempunyai caranya yang tersendiri dalam memberikan maksud kepahlawanan.

Kembalilah kita kepada hadith Baginda s.a.w:



“Bukanlah dikatakan gagah itu orang yang kuat bergusti. Akan tetapi yang dikatakan gagah itu orang yang dapat memiliki (mengawal) dirinya ketika marah” [Muttafaq ‘alayh]

Pandangan ramai mungkin melihat juara bertumbuk dan bergaduh sebagai orang yang gagah.

Tetapi Rasulullah SAW menegaskan bahawa, kegagahan sebenar adalah pada keupayaan seseorang itu mengawal dirinya, terutamanya ketika marah. Marah boleh membuatkan seorang manusia bertindak menghancur binasakan dunia. Manusia yang mampu mengawal diri kita diri terbakar disambar api kemarahan, itulah manusia yang gagah.

Justeru Islam berani menawarkan bentuk penyelesaian yang luar biasa.

Jika kebanyakan manusia melihat kekerasan mesti ditumpaskan dengan kekerasan, Islam berformula sebaliknya. Kekerasan dan onar perlakuan manusia yang melampaui batas, memang boleh dikawal dengan kekerasan, tetapi ia hanya benar-benar tumpas apabila kita mendatangkan tindak balas yang lebih baik dan bijaksana.

Lupakah kita kepada janji-Nya:



Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumNya) perbuatan Yang baik dan perbuatan Yang jahat. Tolaklah (kejahatan Yang ditujukan kepadamu) Dengan cara Yang lebih baik; apabila Engkau berlaku demikian maka orang Yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, Dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. [Fussilat : 34]

Jahat dibalas jahat, keras dibalas keras, sering menjadi seumpama batu dihentak dengan batu. Bukan sahaja salah satu atau keduanya pecah, bahkan turut menyalakan api yang membakar. Tetapi batu kalah dengan air. Batu tenggelam ke dalam air. Batu juga akhirnya menjadi licin dan terbentuk oleh air yang lembut.

Hebatnya kuasa air.

Kerna itu Allah tidak memerintahkan kita agar perbuatan jahat yang dikenakan oleh orang jahat kepada kita, jangan dibalas dengan kejahatan. Sebaliknya Muslim harus bertindak dengan sesuatu yang lebih baik.

Bagaimana di suatu ketika seorang lelaki kafir bernama Dzu Thur datang kepada Rasulullah SAW yang sedang berbaring di bawah sepohon pokok. Dzu Tsur mengambil pedang baginda dan menghunuskannya ke leher Nabi sambil bertanya dengan ancaman, “siapakah lagi yang bisa menyelamatkan kamu?” Nabi menjawab, dengan lembut tetapi tegas, “ALLAH!”

Kata-kata yang penuh isi dan makna itu menyebabkan Dzu Thur gementar hingga terlepas pedang itu. Baginda SAW mengambil pedang tersebut dan menghunuskannya kepada Dzu Thur lalu memulangkan soalan yang sama, “siapakah lagi yang bisa menyelamatkan kamu?”

Dzu Thur terdiam.

Nabi bisa membalas dendam.

Tetapi Baginda memaafkannya. Dzu Thur pulang dengan hati yang berkecamuk terhadap kejadian luar biasa itu. Kemampuan Nabi SAW mengawal diri, tegas dalam kelembutan, dan mampu memberi maaf ketika mampu membalas dendam, telah menumpaskan sombong seorang kafir bernama Dzu Thur. Beliau akhirnya melafazkan Syahadah memeluk Islam.

Itulah kehebatan membalas kejahatan dengan kebaikan dan kebijakan.

Benar sekali janji Allah SWT di dalam ayat yang saya bacakan tadi:

Dan sifat Yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang Yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang Yang mempunyai bahagian Yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. [Fussilat : 35]

sumber: saifulislam.com

No comments:

Post a Comment