Kualiti Hati

Dunia ini alam taklif. Kita semua para mukallaf atas perintah Allah swt. Jika dunia ini hanya penuh dengan nikmat tanpa ada kesukaran dan penderitaan, maka bagaimana kita dapat mengenal dan mensyukuri nikmat?

Wednesday, December 15, 2010

Rasulullah- Adakah kita mencontohinya?

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam
Firman Allah SWT
                         
164. Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang Yang beriman, setelah ia mengutuskan Dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, Yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran Yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad Yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan Yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). dan Sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah Dalam kesesatan Yang nyata.

Sidang jumaat yang di rahmati Allah,
Bila masuk sahaja bulan muharam kita selalu di ingatkan dengan salah satu peristiwa penting dalam Islam iaitu kisah hijrah Rasulullah saw. Seperti juga dengan bulan rejab, kita akan di ingatkan dengan peristiwa Isra’ dan Mikraj Rasulullah Saw, dan bulan rabiulawal dengan peristiwa kelahiran rasulullah SAW. Berbagai peristiwa kisah perjuangan Rasulullah dapat di imbas kembali di dalam bulan-bulan ini.

Sidang jumaat...
Carilah, satu susuk peribadi yang berjaya mengimbangi kehidupannya dengan sempurna selain baginda SAW. Munculkan sesiapa sahaja di atas muka bumi ini, yang mampu menyaingi sistematik kehidupan Rasulullah SAW.
Ternyata, baik dahulu, kini dan selamanya, tidak akan muncul manusia yang mampu menandingi baginda Rasul SAW.

Baginda yang pada siangnya menjadi kepala negara, pendakwah menyebar amanah Allah, ketua kepada keluarga, sahabat kepada sahabat, hakim kepada rakyat, strategis perang dan mengetuai 27 peperangan dalam kehidupannya, meluang masa dengan para miskin dan fakir, sempat bercanda dengan anak-anak kecil serta cucunya, masih memberikan hak perempuan-perempuan di sekelilingnya, dan mampu bermesra dengan sahabat-sahabatnya.
Tidak cukup dengan siangnya yang padat, malamnya pada saat manusia lain berehat, baginda bangun berdiri 4-5 jam untuk qiamullail sehingga bengkak-bengkak kaki baginda.
Siapa yang mampu menandingi manusia yang paling ramai mencintainya?
Nescaya kita akan melihat, tiada seorang pun yang akan mampu menandingi baginda.

Seorang yang sangat pemurah, seorang yang sangat penyayang, pemaaf, lembut hati, tenang dan menyenangkan. Tiada yang mampu menandingi sifat malunya, tiada yang mampu menyaingi ketegasan prinsipnya, tiada yang akan dapat menewaskan kebergantungannya kepada Allah SWT.
Akhlak baginda memancarkan cahaya. Memalukan sesiapa sahaja yang menentangnya.

Lihatlah akhlak baginda dengan kaum diTaif yang mencederakan baginda. Tidak diterima tawaran malaikat untuk menghapuskan kaum itu. Bahkan didoakan pula.
Lihatlah akhlak baginda ketika seorang perempuan datang untuk meminta dirinya dihukum hudud kerana berzina. Baginda suruh balik, dan membesarkan anak dahulu. Perempuan itu datang berkali-kali minta dihukum kerana rasa berdosa, tetapi baginda tidak mempercepatkan hukuman, malah menyuruh perempuan itu membesarkan anaknya terlebih dahulu hingga mampu menjamah makanan. Sungguh telus baginda menjatuhkan hukuman. Adil kepada perempuan itu, adil pula pada bayi yang baru lahir.

Lihatlah akhlak baginda ketika kaum Quraisy menumpahkan darah baginda di medan Uhud, hingga tercabut gigi geraham baginda yang suci di medan itu. Baginda menahan darah yang jatuh sambil berdoa:
“Ya Allah, ampunkanlah kaumku itu. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui”

Lihatlah pada saat Abdullah ibn Ubai ibn Salul, kepala munafiq di Madinah meninggal dunia dalam keadaan kemunafiqannya masih tidak terubat. Rasulullah SAW yang mengetahui tempat Abdullah ibn Ubai ini di neraka, berkeras hendak mendoakannya agar selamat dari azab Allah. Allah menurunkan ayat menyatakan bahawa Abdullah ibn Ubai ini tetap tidak akan terampun walaupun Rasulullah SAW medoakannya sebanyak 70 kali. Lantas Rasulullah SAW bersabda: “Maka, aku akan mendoakannya lebih dari 70 kali” hingga Allah menegur baginda.

Lihatlah akhlak baginda ketika cucunda baginda, Hassan dan Hussin bermain di atas tubuh baginda semasa sedang solat. Baginda memanjangkan sujudnya, sehingga ada sahabat selepas solat berkata kepada baginda: “Apakah wahyu turun semasa sujud tadi wahai Rasulullah? Aku menyangka malaikat maut datang mengambil nyawamu” Rasulullah SAW menjawab: “Cucundaku, Hassan dan Hussin bermain di belakangku. Maka, aku panjangkan sujudku”

Lihatlah akhlak baginda apabila Aisyah RH terjatuhkan cebisan roti. Pantas baginda mengambil cebisan roti itu, membersihkan debu yang ada padanya, dan memakannya dengan penuh rendah diri.
Lihatlah akhlak baginda apabila dia bertanya kepada isterinya: “Apakah kita punya makanan hari ini?” Bila dijawab tiada, baginda tidak ralat. Bahkan berkata: “Jika demikian, aku berpuasa”

Sidang jumaat…
Orang-orang buta mata hati sahja yang menghina baginda. Manusia-manusia yang tertipu sahja yang memandang rendah baginda. Insan-insan yang berpaling daripada Allah melontarkan 1001 tohmahan pada susuk yang mulia ini.
Sesungguhnya segala tohmahan itu palsu, dan menandakan kependekan akal penghinanya.

Dituduh susuk tubuh yang mulia ini gila seks kerana beristeri ramai.Sedangkan, semua perkahwinan baginda adalah arahan Allah SWT dan mempunyai tujuan dalam dakwah dan penyebaran Islam. Jika benar baginda adalah seorang yang gila seks, pastinya baginda tidak menolak lamaran seorang perempuan, yang pada satu hari datang menyerah diri pada baginda. Perempuan itu datang dan berkata: “Wahai Rasulullah, jadikanlah aku ini milikmu” Tetapi Rasulullah menolak, kemudian berkata kepada sahabat-sahabatnya: “Adakah antara kalian yang ingin mengahwini perempuan ini?”

Dituduh susuk tubuh yang mulia ini seorang yang gila perang, dahagakan darah.
Sedangkan, tentera-tentera Islam diberikan pesan untuk tidak membunuh wanita dan kanak-kanak, tidak menganggu orang tua yang tidak berperang, tidak dibenarkan mencabut atau memotong kayu dan rumput sebarangan. Ketika peristiwa Pembukaan Kota Makkah, baginda memaafkan semua kaum Quraisy Makkah yang dahulunya menyeksanya. Maka, apakah ini tindakan seorang yang gila perang dan dahagakan darah?

Dituduh susuk tubuh yang mulia ini seorang yang tamak. Kononnya zakat itu adalah untuk dirinya.
Sedangkan, rumah baginda diketahui jarang berasap. Saidina Umar RA pernah menangis apabila memasuki bilik Rasulullah SAW. Didapati di dalam bilik itu, hanya terdapat penggiling gandum dan katil yang diperbuat dari pelepah tamar, yang apabila Rasulullah SAW bangun, terdapat bekas biratan pelepah tamar itu pada belakang tubuh baginda. Baginda pernah didapati pada satu hari solat duduk. Apabila ditanya, baginda menjawab: “Aku terlalu lapar” Lapar hingga tiada tenaga berdiri. Baginda juga hakikatnya tiada rumah. Baginda hana ada bilik-bilik. Terlalu sempit. Apabila baginda solat malam, sering sahajar terlanggar kakinya dengan tangan isterinya. Apabila mengangkat tangan ke atas, sudah tersentuh silingnya. Jika benar manusia termulia ini mengutip zakat untuk masuk ke poketnya sendiri, sudah pasti dia tidak akan hidup demikian.

Dituduh susuk tubuh yang mulia ini mencipta Al-Quran dan wahyu itu bohong sebenarnya.
Sedangkan, apabila Aisyah RH dituduh melakukan perbuatan sumbang dengan Safwan selepas Perang Bani Mustalik, dalam peristiwa Hadith Ifki, baginda sendiri resah kerana tidak tahu siapakah yang betul. Wahyu ketika itu juga terputus untuk menguji ummat Islam yang diserang oleh orang munafiq yang mereka-reka cerita. Jika Al-Quran itu direka-reka, sudah pasti baginda akan pantas membersihkan nama Aisyah. Tetapi baginda ketika itu sampai tahap menyoal Aisyah RH: “Sekiranya kamu melakukan dosa, bertaubatlah kepada Allah. Sekiranya kamu benar, Allah akan membersihkan nama kamu” Sehingga menitis air mata isteri baginda itu.

Wahai pentohmah-pentohmah diri yang suci ini, wahai penghina-penghina yang mengeji peribadi yang murni ini, apakah kamu tidak memerhatikan keseluruhan kehidupannya yang mulia itu? Tidakkah kamu memerhatikan perawakannya yang cantik itu?
Ternyata, sesiapa yang berusaha merendah-rendahkan baginda, adalah serendah-rendah manusia yang hidup di atas bumi-Nya.

Wahai mereka yang setiap kali datang bulan muharram menyambut dengan pelbagai sambutan. Wahai mereka yang setiap kali datang 12 RabiulAwwal baru sibuk berselawat. Wahai mereka yang setiap kali datang 27 Rejab baru hendak mengadakan majlis keagamaan. Wahai mereka yang setiap kali datang bulan Ramadhan baru pergi ke masjid-masjid. Wahai mereka yang setiap kali datang 12 RabiulAwwal, baru hendak mengingati baginda dengan alasan kecintaan.
Kita ingin bertanya.
Apakah anda mengenali baginda?
Apakah anda mampu mempertahankan baginda dengan baik apabila baginda dihina?
Apakah anda mampu membuktikan baginda itu susuk termulia di atas dunia ini bila dia dikeji?
Apa yang telah kita lakukan pada sunnah baginda? Apakah daripada baginda yang kita bawa dalam kehidupan?

Kita bising mengetahui apa yang pasangan kita suka, kita tahu apa yang selebriti kita cinta, kita tahu apa yang silibus peperiksaan mahu, kita tahu apa yang pensyarah kita senangi, tetapi apakah kita mengetahui apakah yang baginda Rasulullah SAW kehendaki?

Kita bising hendak tahu apa yang boss kita benci, anda mesti hendak tahu apa yang guru kita larang, kita mesti hendak tahu apa yang pasangan kita tidak senangi, kita mesti hendak tahu apakah caramenjawab yang perlu dihindari, tetapi tahukah anda apakah yang baginda Rasulullah SAW hendak kita sisihi?
Sampai ke tahap mana kita mengenali baginda?
Sekadar tahu 12 RabiulAwwal? Awal muharram dan 27 rejab?
Tidak hairanlah kita ini hanya Islam omongan sahaja.

Sidang jumaat …

Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Sesungguhnya aku merindui ikhwanku”
Sahabat-sahabat bertanya: “Siapakah Ikhwanmu ya Rasulullah?”
“Mereka yang tidak pernah melihatku, tetapi berpegang teguh pada ajaranku”

Sidang jumaat,
Baginda merindui kita. Apakah kita merindui baginda?
Rasulullah SAW pada saat nazak, bertanya kepada Jibril AS,
“Wahai Jibril, apakah yang telah Allah sediakan untuk ummatku?”
Tidak baginda bertanya apakah Allah telah sediakan untuknya, apakah balasan Allah untuk segala pengorbanannya, apakah bentuk nikmat akan dia perolehi di syurga sana. Tetapi saat-saat akhir hayatnya, baginda bertanyakan keadaan kita.
“Ummati, ummati, ummati…” Itulah yang baginda sebutkan saat-saat hendak berpisah dengan dunia fana ini. Kita mengetahui bahawa, kematian itu sakitnya ibarat ditusuk 3000 pedang. Rasulullah SAW sendiri menyatakan dalam satu sabdanya: “Wahai Aisyah, sesungguhnya sakarat itu sangat menyakitkan”
Tetapi pada saat itu, kita yang diingti dan disebutkan baginda.
Apakah yang telah kita lakukan dengan kecintaan baginda ini?


Saat kesukaran yang teramat sangat. Saat matahari hanya berjarak sejengkal. Saat manusia semua tunggang langgang, kucar kacir dan kelam kabut. Saat terbukanya hijab alam ghaib di mata manusia. Saat yang amat menakutkan.
Ketika ini ummat manusia bergerak dari nabi ke nabi, rasul ke rasul memohon perlindungan. Nabi Adam tidak menerima. Nabi Ibrahim juga tidak menerima. Nabi Musa juga tidak menerima. Nabi Isa juga tidak menerima. Semua berkata: “Aku tidak pernah melihat Allah murka seperti hari ini, sesungguhnya Dia tidak pernah murka sebegini, dan mustahil untuk Dia murka seperti ini selepas hari ini. Hari ini aku aku, dan kalian dengan urusan kalian sendiri”
Tetapi, akan ada satu suara yang memanggil.
“Ummati, ummati, ummati”
Di tengah kedasyatan hari perhitungan itu, baginda muncul dinaungi awan. Menyelamatkan ummat baginda. Ambil berat akan perihal ummat baginda. Sedia memberikan syafaat pada ummat baginda.
Hingga sampai tahap, menangis bila melihat ummat baginda memasuki neraka.
Diriwayatkan juga bahawa Rasulullah SAW akan melihat nanti ada ummat baginda yang tidak menyahut seruan baginda, tetapi dibawa oleh malaikat-malaikat penjaga neraka. Maka baginda akan resah dan bertanya kepada Jibril:
“Wahai Jibril, itu ummatku. Kenapa mereka tidak bersamaku hari ini?”
Jibril akan menjawab: “Sesungguhnya, kau tidak mengetahui apakah yang mereka lakukan sepeninggalan kau”
Menangis baginda dengan tangisan kesedihan ketika itu.
Apakah kita yang akan menjadi penyebab tangisan baginda nanti?

Sidang jumaat….

Tidakkah kita malu dengan susuk tubuh yang mulia ini?
Sejauh mana cinta kita kepada baginda?
Lihatlah hari-hari kita? Bagaimana kita laluinya? Bagaimana kita isi kehidupan kita? Apakah dengan ajaran baginda, atau dengan ajaran manusia-manusia yang memushi baginda?
Kita berarak, membawa sepanduk,meraikan tokoh-tokoh maal hijrah, menonton televisyen rancangan maulid, tetapi bagaimana kehidupan kita sehari-hari?
Kita hafal sirah Rasul, belajar kisah perjuangan baginda, tetapi bagaimana pembuktian dengan amalan-amalan kita?
Kita rasa berat untuk dicucuk jarum atas perjuangan menegak dan menjaga agama Allah SWT. Baginda telah berikat perut menahan lapar, memerah keringat, tertumpah darah dalam perjuangan ini.
Apakah yang telah kita balas terhadap pengorbanan baginda?
Tidakkah kita ada rasa hendak berterima kasih kepada susuk mulia ini? Tubuh suci yang telah sakit disebabkan hendak menyampaikan Iman dan kepada kita? Tubuh suci yang telah dilukakan musuh kerana hendak menyampaikan Islam kepada kita? Tubuh suci yang telah diburu kerana hendak menyampaikan amanah Allah kepada kita? Tubuh suci yang telah berlapar kerana hendakkan kita merasai nikmat kehidupan yang sebenar.
Kita, baru diajak memakmurkan masjid, sudah bising satu dunia. Baru diajak menutup aurat, sudah rasa macam hendak kiamat. Baru diajak meninggalkan kata mencarut, sudah rasa macam hendak mati.
Ummat jenis apakah kita ini?

Berbanding terlukanya kita dengan orang kafir yang melukis karikatur Rasulullah, menghina Rasulullah di dalam facebook dan sebagainya, kita sepatutnya dan sewajarnya lebih terluka dengan ummat Islam yang meninggalkan ajaran Rasulullah SAW serta menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan rasulnya. Kita sepatutnya lebih terluka bila umat Islam sendiri mengenepikan undang-undang Islam dan memperkecilkan hukum-hukum Allah. Kita sepatutnya lebih terluka bila umat Islam sendiri tidak menyokong perjuangan Islam tetapi sebaliknya menyokong perjuangan kebangsaan yang tak pernah diajar pun oleh Rasulullah SAW.
Sidang jumaat ...
Sempena tahun baru hijrah 1432 ini marilah kita sama-sama berusaha memahami benar-benar apa yang di perjuangkan oleh baginda rasulullah SAW sepanjang hayat baginda dan berusaha dengan bersungguh-sungguh mencontohi perjuangan baginda. Marilah juga kita meninggalkan segala bentuk perjuangan yang kita rasa was-was dengan caranya, organisasinya dan matlamatnya seperti mana kita meninggalkan makanan yang kita rasa was-was halal haramnya. Semoga Allah mematikan kita dalam perjuangan yang diredhainya. Semoga kata-kata Saidina Ali ini memberi kekuatan kepada kita. Katanya;
Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Dan sekiranya kamu berasa seronok dengan dosa maka sesunggunya keseronokkan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal.
                 
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

* ubahsuai bebas dari langitilahi.com

No comments:

Post a Comment