Kualiti Hati

Dunia ini alam taklif. Kita semua para mukallaf atas perintah Allah swt. Jika dunia ini hanya penuh dengan nikmat tanpa ada kesukaran dan penderitaan, maka bagaimana kita dapat mengenal dan mensyukuri nikmat?

Thursday, December 3, 2009

Takut Yang Tak Patut

 Sidang jumaat yang dirahmati Allah.                                                         

Sifat takut, adalah salah satu daripada cabang naluri atau fitrah manusia. Allah Subhanahu wa Ta'aala mencampakkan rasa takut ke dalam diri manusia, salah satu tujuannya adalah untuk menjadi alat yang menyelamatkan manusia daripada kemudaratan.

Takut kepada panas, menyelamatkan manusia daripada tercedera memegang api.

Takut kepada penyakit dan kesakitan,  menjadikan manusia berusaha lebih untuk menjaga kesihatan.

Takut kepada rompakan dan kehilangan, manusia akan menjaga aspek-aspek sekuriti di kediaman masing-masing.

Semua perasaan takut itu adalah untuk membantu manusia menjaga kualiti hidupnya kerana untuk selamat, manusia perlu bertindak lebih pantas daripada proses berfikir. Takut menghasilkan tindakan spontan yang diperlukan.

Begitu jugalah dengan sifat-sifat kontras yang lain di dalam diri manusia. Sifat marah, cemburu, dendam, letih dan mengantuk, biar pun lazimnya dianggap negatif, hakikatnya ia mempunyai peranan yang tersendiri dalam menghasilkan manfaat dan mencegah mudarat dalam kehidupan manusia.

Firman Allah:

7. Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);

8. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; -

9. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),

10. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

[Al-Syams  91: 7-10]

Sifat takut ini boleh berubah daripada baik kepada buruk, apabila ia tidak diletakkan kena pada tempatnya. Apabila perasaan takut itu melebihi keperluannya, maka manusia yang selamat kerana memanfaatkan rasa takut yang betul, berubah menjadi manusia yang penakut hingga merosakkan diri.

Cicak mungkin disangkanya buaya.

Cacing mungkin disangkanya ular.

Perkara kecil menjadi besar… tatkala takut hilang batasan dan menguasai diri melebihi keperluan.

Justeru Allah Subhanahu wa Taala mengingatkan orang-orang yang beriman, agar belajar menguruskan ketakutan. Mereka juga diberi peringatan supaya menyiapkan diri, bahawa ada keadaannya, orang-orang yang beriman ini akan diuji oleh Allah Subhanahu wa Taala dengan beberapa cabaran kehidupan termasuk ujian berupa ketakutan.

Firman Allah Subhanahu wa Taala di dalam al-Quran:

http://saifulislam.com/wp-content/uploads/2008/10/albaqarah-2-155.png

"Dan pastinya Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta, jiwa dan hasil buah-buahan. Dan berikanlah khabar gembira kepada mereka yang sabar" [Al-Baqarah 2: 155]

Di dalam ayat ini, Allah Azza wa Jalla menerangkan kepada kaum yang beriman bahawa keimanan mereka kepada Allah harus meningkat dari satu tahap ke satu tahap, dan peningkatan itu berlaku melalui kejayaan mereka menangani dan menguruskan beberapa ujian kehidupan. Antara yang disebut di dalam ayat itu:

1.       Ketakutan

2.       Kelaparan

3.       Kekurangan harta

4.       Ancaman nyawa

5.       Kehilangan sumber tanaman atau sumber pendapatan

Inilah bentuk ujian yang akan melazimi kehidupan orang-orang yang beriman. Kesemuanya datang dengan maksud yang jelas, iaitu sebagai desakan daripada Allah untuk menzahirkan siapakah di kalangan kita yang akan bertindak secara yang terbaik di dalam hidup ini, tatkala berdepan dengan ujian-ujian berkenaan.

Antara ujian yang tersenarai itu, Allah Subhanahu wa Taala meletakkan ujian ketakutan sebagai ujian pertama, kerana ketakutan itu boleh bersarang dan menguji manusia sebelum ujian yang sebenarnya terjadi. Seorang yang mahu mengamalkan Islam, mungkin membayangkan kesusahan hidupnya apabila pilihannya tidak disenangi rakan, susah mahu naik pangkat, susah nak dapat tender, dan pelbagai lagi kerisauan dan ketakutan yang muncul di dalam diri, sebelum ia sebenar-benarnya berlaku. Bahkan mungkin ia tidak akan berlaku.

Justeru, seorang mukmin diperingatkan oleh Allah supaya membina kekuatan dan keberanian sebagai sebahagian daripada pembinaan iman.

Allah memujuk orang-orang yang beriman agar membuang rasa takut itu dengan beberapa cara. Misalnya, di awal ayat itu, Allah menggunakan kalimah ???? yang memberikan makna sedikit. Maka sesungguhnya sebesar mana sekali pun ujian yang mendatang, ia hanya secebis dan sedikit daripada ketakutan yang sebenar.

Masakan tidak.

Jika kita takut dengan cakap-cakap orang apabila kita memilih untuk menutup aurat, sebesar manakah ketakutan itu jika dibandingkan dengan ketakutan Akhirat tatkala kealpaan kita daripada mematuhi Allah bakal menerima akibatnya yang Maha Dahsyat. Jika kita takut kepada sedikit kehilangan harta benda semata-mata kerana menolak rezeki yang haram, apalah sangat ketakutan itu berbanding ketakutan ancaman Allah untuk membakar setiap inci daging tubuh yang tumbuh dari sumber yang haram?

Sesungguhnya ketakutan di dunia, hanya ketakutan yang sedikit.

Maka janganlah sekali-kali perasaan takut menyebabkan kita hilang keupayaan dan kekuatan untuk mentaati Allah di akhir zaman yang penuh fitnah dan mehnah ini. Ia hanya mengundang kehinaan diri, apatah lagi jika ketakutan itu ditambah lagi pula dengan rasa cinta yang mendalam kepada dunia dan kehidupan.

Di dalam sepotong hadith yang panjang, berlaku sahabat bersama Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam:

"Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka" Maka salah seorang sahabat bertanya,"apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi s.a.w menjawab, "bahkan kamu pada hari itu ramaisekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan" Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu wahai Rasulullah?" Rasulullah s.a.w menjawab," CINTAKAN DUNIA DAN TAKUT MATI" [Riwayat Abu Daud dan disahihkan oleh al-Albani]

Sesungguhnya jangan kita hairan terhadap nasib umat Islam yang ditekan dan dihina pada hari ini. Allah mencabut rasa gerun dari jiwa musuh terhadap kita, disebabkan oleh penyakit hina yang membelenggu diri. Itulah penyakit WAHAN.

Cintakan dunia, dan membenci kematian.

Lupakah kita kepada seruan tentera Saad bin Abi Waqqas semasa masuk ke daerah tanah besar China?

"Kami adalah kaum yang mencintai kematian seperti kamu cintakan kehidupan"

Kata-kata itu bukan ancaman bunuh, tetapi suatu penegasan terhadap prinsip dan keseriusan umat Islam terhadap visi dan misi hidupnya. Kata-kata itulah yang menjadikan Islam, diterima dan berkembang luas di China, lama sebelum Islam menjengah Kepulauan Melayu, suatu ketika dahulu.

Buangkanlah rasa takut yang membelenggu kita daripada berperanan dalam kehidupan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita menyumbang kepada perkembangan syariat dan syiar Islam tanpa ada rasa takut mengikut kemampuan masing-masing.  Lakukan sesuatu mengikut bidang masing-masing.  Banyak perkara yang boleh kita lakukan sebenarnya.  Contohnya apa yang boleh kita lakukan untuk perkembangan sistem ekonomi Islam di Negara kita?. 

      Pernah kita terfikir sekiranya semua umat Islam bersatu menggunakan sistem perbankan Islam, dengan cara hanya membuka akaun bank dengan perbankan Islam dan menutup semua akaun-akaun bank kita di dalam bank-bank konvesional, maka kita telah memberi sumbangan yang besar untuk menghapuskan atau setidak-tidaknya mengurangkan  sistem riba' dari terus bermaharajalela di Negara kita.  Ini tidak sukar , kerana hampir semua bank di Negara ini telah menyediakan sistem perbankan Islam di samping sistem konvesional.  Cuma sambutan kepada sistem perbankan Islam ini masih kurang sambutan mungkin disebabkan kurangnya kesedaran di kalangan umat Islam betapa besarnya dosa bermuamalah dengan melibatkan riba ini.

        Begitu juga dengan Insuran konvesional yang jelas haram di dalam Islam.  Kita telah ada pilihan sejak lebih 20 tahun dengan wujudnya sistem takaful dinegara ini.   Tetapi berapa ramai umat Islam tanpa rasa berdosa terus menggunakan insurans konvesional terutama untuk memperbaharui @ RENEW cukai jalan kenderaan mereka.  Sedangkan dengan menggunakan sistem takaful ia adalah  lebih menguntungkan bukan sahaja di dunnia ini malahan lebih-lebih lagi di akhirat

Dengarkan firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 275.

úïÏ%©!$# tbqè=à2ù't (#4qt/Ìh9$# w tbqãBqà)t wÎ) $yJx. ãPqà)t Ï%©!$# çmäܬ6ytFt ß`»sÜø¤±9$# z`ÏB Äb§yJø9$# 4 y7Ï9ºs öNßg¯Rr'Î/ (#þqä9$s% $yJ¯RÎ) ßìøt7ø9$# ã@÷WÏB (#4qt/Ìh9$# 3 ¨@ymr&ur ª!$# yìøt7ø9$# tP§ymur (#4qt/Ìh9$# 4 `yJsù ¼çnuä!%y` ×psàÏãöqtB `ÏiB ¾ÏmÎn/§ 4ygtFR$$sù ¼ã&s#sù $tB y#n=y ÿ¼çnãøBr&ur n<Î) «!$# ( ïÆtBur y$tã y7Í´¯»s9'ré'sù Ü=»ysô¹r& Í$¨Z9$# ( öNèd $pkÏù crà$Î#»yz ÇËÐÎÈ  

275. Orang-orang Yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang Yang dirasuk Syaitan Dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa Sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. oleh itu sesiapa Yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa Yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. dan sesiapa Yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

 Sidang jumaat ...

   Tidak patut  kita sebagai umat Islam takut untuk membuat perubahan.  Tidak  patut kita yang mengakui beriman dengan Allah dan hari akhirat masih rasa tidak berdosa bila bergelumang dengan sistem riba.  Tidak patut kita yang yakin akan dibangkitkan semula selepas mati , masih malas dan berkeberatan untuk menyumbang kepada kemajuan syariat dan sistem Islam dinegara kita ini.  Lakukan segera perintah Allah sebab kita tak tahu bila peluang ini akan berakhir....samada dengan berakhirnya umur kita atau berakhirnya umur dunia ini.

(ubah suai dari  blog saifulislam.com)

 

 

 

 



Yahoo! Toolbar is now powered with Free Anti-Virus and Anti-Adware Software. Download Yahoo! Toolbar now!

No comments:

Post a Comment