Kualiti Hati

Dunia ini alam taklif. Kita semua para mukallaf atas perintah Allah swt. Jika dunia ini hanya penuh dengan nikmat tanpa ada kesukaran dan penderitaan, maka bagaimana kita dapat mengenal dan mensyukuri nikmat?

Sunday, October 4, 2009

Awal Ramadhan

Khutbah Jumaat: Ramadhan Menamatkan Perhambaan Diri
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Sudah seminggu kita berada di bulan Ramadhan . Bulan yang menyediakan segala kebaikan, dilimpahi dengan segala kemuliaan, dihiasi dengan segala ketaatan, bulan manusia membangunkan diri mereka demi mengejar nilai TAQWA, sebagaimana yang dipesankan saban minggu di atas mimbar Jumaat ini.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah, ayat 183:

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan ke atas dirimu, sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan dengan puasa itu kamu bertaqwa”
Kaum Muslimin, rahimakumullaah,
Telah diriwayatkan, tatkala tibanya bulan Ramadhan, Rasulullah s.a.w akan mengingatkan para sahabat telah erti dan nilai bulan yang mulia ini. Semuanya adalah untuk mengingatkan kita agar mengambil peluang yang diberikan oleh Allah ini. Misalnya di dalam sepotong hadith, Baginda s.a.w. bersabda: yg bermaksud
Wahai sekalian manusia. Telah datang kepada kamu Ramadhan. Bulan yang penuh keberkatan. Bulan yang difardhukan ke atas kamu oleh Allah ‘Azza wa Jalla puasanya. Di bulan itu pintu Syurga dibuka, pintu neraka Jahim ditutup dan para Syaitan dirantai. Padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang terlepas peluang meraih rahmat ini, maka sesungguhnya dia itu hakikatnya diharamkan dari rahmat Allah. [Hadith riwayat al-Nasaai]
Jika ada sebuah pasaraya membuat tawaran istimewa, beli satu dapat 10, jalanraya dilapangkan menuju pasaraya itu, lampu isyarat semua dihijaukan, kenderaan lain semua dilencongkan, agar segala kemudahan diberi untuk kita pergi mendapatkan tawaran itu, tetapi kita tidak peduli dan tidak teringin langsung kepadanya, maka sesungguhnya kita memang tidak berminat sungguh dengan apa yang ditawarkan oleh pasaraya tersebut.
Demikianlah juga halnya dengan Ramadhan.
Seandainya pintu Syurga sudah dibuka, pintu Neraka ditutup kunci, malah Syaitan dirantai agar lemah potensinya dalam mengganggu manusia, segala gandaan pahala diberi dan segala galakan kebaikan ditawarkan, tiba-tiba kita langsung tidak tertarik untuk mendapatkannya, ia menandakan bahawa kita memang tidak berminat dengan Allah, tidak berminat dengan tawaran-Nya, tidak berminat dengan Syurga dan tidak pernah kisah dengan Neraka. Maka sesungguhnya orang ini benar-benar tidak mendapat sebarang rahmat daripada Allah. Semoga Allah melindungi kita daripada kedegilan dan kesombongan yang membinasakan itu.
Sidang Jumaat sekalian,
Apakah sebenarnya yang ada pada ibadah puasa di bulan Ramadhan, sehingga ia dijanjikan dengan sebuah kehebatan?
Jika seorang itu tidak makan kerana tiada makanan, keadaan itu tidak akan mendidik dirinya dengan sebarang nilai pendidikan. Tetapi jika seseorang itu ada segalanya untuk dimakan, namun beliau memilih untuk tidak makan kerana mahu mematuhi Allah SWT, maka di situlah datangnya nilai Tarbiyah.
Kita belajar untuk berkata TIDAK, kepada sesetengah keinginan dan kemahuan diri, kerana mahu mentaati Allah, itulah sebuah LATIHAN. Ramadhan melatih kita untuk mempunyai kekuatan mengawal keinginan dan kemahuan, supaya kita tidak terus terbelenggu menjadi hamba kepada hawa nafsu dan diri sendiri.
Tidakkah kita ingat, kepada peringatan Allah SWT di dalam al-Quran:

Apakah engkau tidak melihat gelagat orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang disembah? Lalu dia disesatkan oleh Allah dalam keadaan dirinya berilmu dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah? Oleh itu, mengapa tidak ingat dan insaf? [al-Jaatsiyyah : 23]
Seorang manusia menyembah Tuhan palsu tanpa perlu menyembah berhala. Dia mengambil Tuhan palsu dalam hidupnya apabila hawa nafsunya sendiri diutamakan, membelakangi perintah dan suruhan Allah SWT. Apabila manusia menjadi hamba kepada dirinya sendiri, dia menjadi sesat walaupun berilmu. Malah sesatnya menebal hingga menutup mata, telinga dan hatinya daripada peringatan. Semua itu berlaku apabila seorang manusia tidak mampu berkata TIDAK kepada kemahuan-kemahuan diri, sebaliknya sentiasa mengikut perasaan dan kata nafsu dalam kehidupan.
Alangkah besarnya bencana manusia seperti ini.
Justeru Allah datangkan Ramadhan dan ibadah puasa, agar manusia belajar mengawal diri. Belajar untuk mampu berkata TIDAK kepada sebahagian kehendak diri yang diciptakan Allah kita ini ada kecenderungan kepada kebaikan dan ada kecenderungan kepada kejahatan.
Ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW:

“Bukanlah dikatakan gagah itu orang yang kuat bergusti. Akan tetapi yang dikatakan gagah itu orang yang dapat memiliki (mengawal) dirinya ketika marah” [Muttafaq ‘alayh]
Pandangan ramai mungkin melihat juara gusti sebagai orang yang gagah.
Tetapi Rasulullah SAW menegaskan bahawa, kegagahan sebenar adalah pada keupayaan seseorang itu mengawal dirinya, terutamanya ketika marah. Manusia yang gagah atau lemah, mudah tertonjol warna sebenarnya ketika marah. Seorang juara gusti tidak mampu menyelamatkan rumahtangganya, apabila gagal menahan marah. Seorang billionaire yang mampu membeli apa sahaja, gagal menyelamatkan perniagaannya apabila hilang pertimbangan ketika marah.
Marah boleh membuatkan seorang manusia bertindak menghancur binasakan dunia. Manusia yang mampu mengawal diri kita diri terbakar disambar api kemarahan, itulah manusia yang gagah.
Kerana itulah di bulan Ramadhan, selain latihan mengawal diri daripada makan dan minum, Islam juga datangkan beberapa siri latihan lain untuk mengukuhkan proses ini.
Sabda Nabi SAW:

Bukanlah berpuasa itu sekadar menahan dari makan dan minum. Sesungguhnya puasa itu juga adalah menahan diri dari perkara yang sia-sia dan kotor (lucah). Jika kamu dimaki oleh seseorang atau diperbodohkannya, maka berkatalah: Sesungguhnya aku berpuasa [riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068]
Kawal diri dari makan dan minum. Kawal diri dari larut dalam perkara yang sia-sia. Kawal diri dari kelakuan dan percakapan sumbang dan lucah. Jika dicela, dimaki hamun atau diperbodohkan, secara khusus di bulan Ramadhan ini, jangan dibalas provokasi itu, sebaliknya kawallah diri. Nyatakan, “aku berpuasa”. Ia bukan suatu kekalahan apabila tidak membalas. Tetapi ia adalah suatu latihan untuk meningkatkan daya mampu mengawal diri dan berkata TIDAK kepada perkara-perkara yang mengundang mudharat dan kerugian.
Sidang Jumaat sekalian,
Ambillah ini sebagai suatu proses yang dilatih secara tubi.
Semasa membeli di Bazar Ramadhan, semasa membeli barangan untuk sambutan Aidilfitri, pastikan kita peka kepada proses mengawal diri ini. Belajarlah untuk berkata tidak.
Semoga dengan daya mengawal diri yang baik, kuranglah penceraian yang berpunca dari suami isteri yang hilang kawalan diri, kuranglah rasuah daripada berlaku ketika pekerja kurang daya mengawal diri, kuranglah sambutan terhadap hiburan melampau tatkala masyarakat kurang mampu mengawal hawa nafsu dan kehendak diri. Semoga dengan daya mengawal diri yang baik, bercambah-cambahlah kebaikan dalam hidup kita semua, ameen.
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Bersempena dengan Kemerdekaan negara kita selama 52 tahun, yang kebetulan berlaku sewaktu kita umat Islam sedang menyambut Ramadhan , biarlah sambutan tahun ini berlaku selari dengan kehendak Islam. Ibadah puasa yang sedang kita jalani sekarang ini juga adalah satu tanda kemerdekaan kita dari hasutan nafsu yang sentiasa ingin menewaskan kita.

Kemerdekaan menurut pandangan Islam ialah apabila seseorang, bangsa atau umat merdeka daripada segala bentuk penjajahan undang-undang ciptaan manusia kepada pengabdian diri hanya kepada Allah, bebas daripada kezaliman kepada keadilan dan bebas dari kejahilan kepada berilmu baik lahiriah ataupun zahiria.

Merdeka bukan bermaksud bebas dan tidak terikat dengan sebarang peraturan dan boleh melakukan apa saja yang disukai. Merdeka bukan semata-mata bebas secara fizikal daripada belenggu penjajahan, tetapi konsep merdeka yang sebenar mengikut pandangan Islam ialah membebaskan diri daripada semua bentuk penjajahan yang bercanggah dengan ajaran Islam, samada dalam bentuk pemikiran rohani dan jasmani mahupun budaya dan citarasa, perasaan dan emosi seseorang insan itu.
Sehingga hari ini, kita melihat minda terjajah masih mengongkong dan berkarat dalam pemikiran anak muda dan masyarakat sekarang. Tidak sayukah hati kita apabila melihat anak muda berpeluk dan bercium dikhalayak ramai, berpeleseran tanpa batasan, pergaulan bebas sehingga terjebak dengan seks bebas dan dadah, terlibat dengan gengstar, penyelewengan aqidah dan sebagainya.

Sidang hadirin yang berbahagia,

Sepatutnya, umat yang merdeka dapat berfikir dengan matang apakah yang terbaik dilakukan untuk dirinya, bangsa dan kepentingan umat keseluruhannya serta negaranya tanpa khawatir dan bimbang terhadap sebarang halangan yang menghalangnya. . Sebab itulah sekiranya fahaman dan mentaliti kita belum berganjak sampai bilakah kita boleh dikatakan sebagai seorang manusia yang benar-benar merdeka?
Sebagai bangsa Malaysia yang merdeka, jiwa kita, diri kita, keluarga dan masyarakat kita perlu bebas daripada mengagungkan pemikiran penjajah, bebas daripada amalan penjajah, budaya hidup penjajah dan bebas daripada idealisme dan undang-undang penjajah.

. Pengaruh pemikiran bebas atau Liberal yang didatangkan oleh barat, jika dibawa kedalam masyarakat dan menjadi amalan di negara ini, pasti akan membawa kepada kehancuran masyarakat dan kehancuran negara.
Ada juga manusia, bangsa atau umat meskipun secara lahirnya mereka sudah mencapai kemerdekaan selama puluhan tahun, tetapi jiwa mereka dijajah oleh nafsu jahat. Yang menjadi tuhan mereka hanya nafsu dan apa yang dilakukan oleh mereka membawa bencana kepada seluruh umat manusia.

Sidang jumaat yang berbahgia,
Golongan penjajah pada masa kini tidak lagi datang menaiki kapal dan menggunakan senjata seperti masa dulu, sebaliknya berupaya menjajah umat islam menerusi alat komunikasi canggih serta menggunakan kuasa kewangan dan media. Dengan adanya zaman globalisasi dan dunia tanpa sempadan, ia menjadi semakin mudah untuk mereka melebarkan pengaruh dan mengawal aspek politik, ekonomi dan system social milik kita. Malah, perkara terburuk ialah penjajahan pemikiran masih berlaku dikalangan masyarakat
Pemikiran anti islam yang merosakkan umat islam ini sebenarnya adalah hasil daripada usaha dan agenda musuh-musuh islam, terutama golongan yahudi dan nasrani. Sebagai umat islam yang beriman kepada Allah, kita hendaklah berhati-hati dengan idea dan pandangan yang dikemukakan oleh mereka.

Kejayaan sesebuah Negara yang merdeka tidak hanya dilihat dari segi pembangunan luaran seperti bangunan yang besar, tinggi dan moden, di samping kemudahan-kemudahan lain yang disediakan. Namun yang lebih utama dalam pembangunan sesebuah Negara ialah aspek pembangunan modal insan yang berteraskan ajaran islam.
Tidak bermakna mendiami sebuah Negara merdeka, sedangkan rakyatnya masih belum merdeka jiwanya dan amalan sehariannya. Apalah erti kemerdekaan yang dikecapi oleh kita, jika masyarakat yang tidak patuh kepad aperaturan-peraturan agama.

Kemerdekaan Negara yang telah diperolehi selama ini amat merugikan jika wujud berbagai-bagai penyakit social dalam masyarakat yang akhirnya membawa kerosakan dan huru-hara.

Justeru, umat islam perlu terus berusaha untuk membebaskan diri dan jiwa merek adaripada kejahilan, kemiskinan dan rasa rendah diri daripada bangsa-bangsa lain. Kemerdekaan yang sebenar akan menjadikan umat islam sebagai umat yang mampu berdikari, berilmu pengetahuan, berkeyakinan tinggi, mempunyai jati diri yang kuat dan bebas daripada pengaruh penjajahan.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah sekalian
Sempena bulan ramadhan yang mulia ini,Janganlah kita mensia-siakan nikmat ini dengan melakukan perkara-perkara yang tidak memberi untung kepada kita. Marilah kita mengisi kemerdekaan secara dengan melaksanakan perkara-perkara yang berfaedah dan berguna bagi membangun agama, bangsa dan Negara berlandaskan ajaran Islam.

No comments:

Post a Comment